Skip to main content

Dunia

Bahasa Melayu masih diguna pakai, duduki tangga ke-10 popular di dunia, kata Ismail Sabri

Rakyat Malaysia harus berasa bangga kerana Bahasa Melayu bukan sahaja masih diguna pakai di peringkat antarabangsa tetapi menduduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Anggaran Waktu Membaca:
Bahasa Melayu masih diguna pakai, duduki tangga ke-10 popular di dunia, kata Ismail Sabri

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob merasmikan Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 28 Nov 2021. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 29 Nov 2021 08:12AM Dikemas Kini : 29 Nov 2021 08:19AM

JOHOR BAHRU: Rakyat Malaysia harus berasa bangga kerana Bahasa Melayu bukan sahaja masih diguna pakai di peringkat antarabangsa tetapi menduduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata buat masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai, akan tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategorikan dan diberi taraf bahasa rasmi termasuk Bahasa Melayu.

“Sebagai Keluarga Malaysia dan empunya bahasa ibunda ini, kita harus berasa bangga kerana di celah-celah ruang penguasaan teguh Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu tetap ampuh mencorak ritma yang tersendiri dan sentiasa mekar di persada tamadun dunia.

"Keadaan ini tidak berlaku pada semua bahasa utama dunia kerana terdapat bahasa yang lenyap ditelan arus globalisasi, manakala sebahagian yang lain berdepan dengan ancaman kepupusan,” kata beliau ketika berucap merasmikan Malam Kemuncak Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2021 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) semalam (28 Nov).

Ismail Sabri berkata Malaysia seharusnya bersyukur kerana perkara itu tidak berlaku pada Bahasa Melayu memandangkan semuanya hasil kesepaduan rumpun Nusantara yang terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam selaku pendukung utama.

“Dengan itu, adalah tidak mustahil jika bilangan penutur Bahasa Melayu di dunia ini, yang sekarang ini sudahpun melebihi 300 juta orang, malah akan lebih berkembang, sekali gus mengembalikan zaman kegemilangan ‘lingua franca’ Bahasa Melayu,” kata beliau.

Perdana Menteri bagaimanapun menegur trend masa kini yang menyaksikan program swasta, malah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi-agensi kerajaan yang tidak menggunakan Bahasa Melayu.

“Mesyuarat agensi dan GLC juga menggunakan Bahasa Inggeris. Malah, penggunaan nama syarikat, projek perumahan dan jenama produk kini menjadi lumrah dengan tidak juga menggunakan Bahasa Melayu.

Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mesti menggunakan Bahasa Melayu selepas ini. Siapa lagi boleh mengangkat Bahasa Melayu melainkan kita sendiri,” kata beliau.

Kata beliau lagi, kerajaan mahu mengulangi sejarah kegemilangan Bahasa Melayu, dengan menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa pengungkap ilmu dan bahasa antarabangsa abad ke-21.

“Kerajaan komited untuk memastikan dasar-dasar yang digubal menyokong usaha pemartabatan Bahasa Melayu.

Untuk itu, kerajaan sangat menggalakkan pelaksanaan program dan aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan yang dapat menyemarakkan lagi roh kecintaan terhadap Bahasa Melayu,” kata Ismail Sabri.

PABM 2021 melibatkan penyertaan 78 peserta dari 36 negara, antaranya Bangladesh, Jepun, Uzbekistan, Mesir, Brunei, Mali dan Pakistan. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita