Skip to main content

Dunia

Bahasa isyarat penting sebagai medium pengantara

Anggaran Waktu Membaca:
MALAYSIA: Komunikasi merupakan sebahagian penting daripada aspek kehidupan manusia dalam menyalurkan informasi atau maklumat.

Bahkan, terdapat beberapa bentuk komunikasi bagi mewujudkan penyampaian yang baik dalam kehidupan individu sekali gus membentuk budaya sihat dalam masyarakat atau organisasi.

Antara bentuk komunikasi termasuk komunikasi 'intrapersonal' (komunikasi dengan diri) dan komunikasi 'interpersonal' (komunikasi antara perorangan).

Komunikasi 'intrapersonal' berlaku dalam fikiran seseorang individu manakala komunikasi 'interpersonal' melibatkan perbualan antara dua individu.

Selain itu, terdapat juga komunikasi berkumpulan atau komunikasi kumpulan kecik dan komunikasi organisasi.

Bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bisu atau pekak pula, mereka menggunakan bahasa isyarat dalam meluahkan perasaan, pendapat dan idea.

Menurut pengasas #SignOn: Malaysia Sign Language, Mohd Armi Rusli, bahasa isyarat adalah sama penting dengan bahasa lain untuk dipelajari semua golongan dewasa mahupun para pelajar, lapor Sinar Bestari.

Beliau berkata, segelintir komuniti pekak berdepan kesukaran dalam menjalankan urusan melibatkan organisasi-organisasi disebabkan akses komunikasi terhad.

“Sebagai contoh, masih ramai golongan barisan hadapan seperti pegawai kesihatan atau bank yang tidak tahu menggunakan bahasa isyarat.

“Ia akan menyebabkan kami (golongan pekak atau bisu) sukar berkomunikasi dengan mereka dalam menyelesaikan urusan penting,” katanya kepada Sinar Bestari, baru-baru ini.

Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) merupakan bahasa tulen atau ibunda bagi golongan pekak di Malaysia mengikut Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008, menurut Sinar Bestari.

BIM juga adalah bahasa rasmi bagi komuniti pekak di Malaysia.

Jelas Encik Armi, BIM merupakan satu keperluan bagi membantu OKU daripada terus rasa terpinggir.

“Memandangkan BIM sama penting dengan bahasa lain, adalah lebih elok sekiranya ia diterapkan dalam pendidikan hari ini bermula dari peringkat sekolah rendah,” ujar anak sulung daripada lima beradik itu.

Encik Armi juga merupakan tenaga pengajar BIM menambah, terdapat banyak kelas atau program bahasa isyarat ditawarkan di Malaysia sekali gus membuka peluang kepada mereka yang berminat mempelajarinya.

“BIM tidaklah sukar untuk dipelajari, mereka yang pertama kali mempelajari memerlukan masa memahami apa yang disampaikan tenaga pengajar.

“Bagaimanapun, selepas beberapa minit sesi pembelajaran, anda boleh menguasai huruf dan perkataan asas dalam BIM,” katanya yang berkecimpung dalam bidang berkenaan sejak 2013, seperti dinukil Sinar Bestari.

“Pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan penting dalam usaha mengangkat bahasa isyarat agar ia dipelajari oleh semua golongan, bukan terbatas kepada golongan OKU semata-mata.

“Anggaplah bahasa isyarat seperti bahasa percakapan harian biasa seperti orang bukan pekak namun diterjemahkan melalui simbol-simbol isyarat melalui tangan menggantikan suara,” jelasnya.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita