Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bagaimana Sri Lanka terjerumus dalam krisis? Ini penjelasannya...

Anggaran Waktu Membaca:
COLOMBO: Krisis ekonomi Sri Lanka akhirnya menyebabkan Presiden Gotabaya Rajapaksa meletak jawatan.

Setakat ini, Encik Rajapaksa belum lagi memberikan komen secara langsung namun beliau akan meletakkan jawatan pada Rabu (13 Jul), menurut speaker parlimen negara itu pada Sabtu (9 Jul), sekali gus tunduk kepada tekanan dahsyat selepas para penunjuk perasaan menceroboh masuk ke kediaman rasmi beliau dan membakar rumah perdana menteri negara itu di Colombo.
Penunjuk perasaan antipemerintah yang begitu marah terhadap isu-isu bekalan elektrik yang terputus, kekurangan bekalan barangan asas dan harga yang semakin meningkat, sudah lama menuntut agar Encik Rajapaksa meletakkan jawatan. Namun beliau bertahan dan tidak mengendahkan tuntutan tersebut berbulan-bulan lamanya.

Beliau sebaliknya menggunakan kuasa kecemasan dalam usaha untuk mengekalkan kawalan.
Keganasan dan masalah politik mencengkam negara dengan 22 juta penduduk itu, di tengah-tengah rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai rancangan menyelamat serta cadangan untuk menyusun semula hutang pemerintah.

Kedua-dua perancangan itu boleh mencetuskan huru-hara.
Gambar: Arun SANKAR / AFP
BAGAIMANA KRISIS INI BERLAKU?

Para pengamat berkata bahawa salah urus ekonomi oleh pemerintah sudah melemahkan kewangan awam Sri Lanka, sekali gus menyebabkan perbelanjaan negara melebihi pendapatan dan pengeluaran khidmat dan barangan yang boleh diperdagangkan di paras yang tidak mencukupi.

Situasi diburukkan lagi oleh pemotongan tinggi cukai yang dilaksanakan oleh pemerintah Encik Rajapaksa sebaik sahaja beliau menyandang jawatan pada 2019. Beberapa bulan kemudian, pandemik COVID-19 melanda.

Keadaan itu menghapuskan banyak asas pendapatan Sri Lanka terutama sekali industri pelancongan yang sangat menguntungkan.

Manakala, kiriman wang daripada warga negara yang bekerja di luar negara semakin merosot dan terus terjejas oleh kadar pertukaran asing yang tidak fleksibel.

Agensi-agensi rating, yang prihatin mengenai kewangan pemerintah dan ketidakupayaannya untuk membayar balik hutang asing yang besar, menurunkan rating kredit Sri Lanka dari 2020 dan seterusnya.

Ini sekali gus mengasingkan negara itu daripada pasaran kewangan antarabangsa.

Untuk memastikan keadaan ekonomi berkekalan, pemerintah bergantung pada rizab pertukaran asing mereka.

Kiris itu sudah menjejas Sri Lanka yang pernah dilihat sebagai contoh ekonomi membangun.

Kekurangan bahan api menyebabkan orang ramai beratur panjang di stesen minyak serta bekalan elektrik yang kerap terputus dan hospital-hospital juga kehabisan bekalan ubat-ubatan.

Kadar inflasinya pula mencecah 54.6 peratus bulan lalu dan boleh meningkat kepada 70 peratus, menurut bank pusat itu.
Gambar: Arun SANKAR / AFP

APA YANG PEMERINTAH LAKUKAN?

Meskipun sekitaran ekonomi yang semakin teruk, pemerintah Encik Rajapaksa pada mulanya mengadakan rundingan dengan IMF.

Selama beberapa bulan, pemimpin pembangkang dan beberapa pakar kewangan menggesa pemerintah supaya mengambil tindakan. Namun ia tetap berpegang pada pendiriannya, dengan harapan agar industri pelancongan akan bangkit semula dan pengiriman wang akan pulih.

Akhirnya, setelah menyedari skala krisis yang semakin meruncing itu, pemerintah Sri Lanka meminta bantuan daripada negara-negara termasuk India dan China - kedua-duanya kuasa besar serantau yang diketahui berebut untuk mempengaruhi pulau yang terletak di kawasan yang strategik itu.

APA YANG BAKAL BERLAKU?

Presiden yang masih memegang jawatan dan disingkirkan oleh penunjuk perasaan adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah pasca kemerdekaan Sri Lanka.

Keputusan Encik Rajapaksa untuk meletak jawatan berkemungkinan memburukkan lagi keadaan politik dan ekonomi yang tidak menentu di negara itu.

Perlembagaan Sri Lanka menetapkan bahawa sekiranya seorang presiden meletakkan jawatan, perdana menteri negara itu akan mengambil alih peranan tersebut.

Tetapi PM negara itu, Ranil Wickremesinghe, berkata beliau juga akan berundur.

Parlimen Sri Lanka akan memilih presiden baru pada 20 Julai, menurut Speaker Parlimen Mahinda Yapa Abeywardena dalam kenyataan media pada Isnin (11 Jul).

Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan