Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Bagai semboyan dibunyikan, Johor meriah dengan pelbagai aktiviti PRN

Anggaran Waktu Membaca:
Bagai semboyan dibunyikan, Johor meriah dengan pelbagai aktiviti PRN

Gambar:BERNAMA

Diterbitkan : 07 Feb 2022 11:07AM Dikemas Kini : 07 Feb 2022 11:12AM

JOHOR BAHRU: Bagaikan semboyan ‘perang’ seolah-olah dibunyikan, Johor yang sunyi dua hari sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina tiba-tiba kembali meriah dengan pelbagai aktiviti politik, seolah-olah tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudahpun ditetapkan.

Hakikatnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum pun bermesyuarat untuk menentukan tarikh PRN, namun parti-parti politik dilihat seperti sudah berkempen di lapangan dengan pelbagai aktiviti dalam usaha menawan hati masyarakat Johor.

Segelintir pemimpin parti politik turut menyifatkan tempoh penetapan tarikh PRN Johor agak panjang memandangkan sudah lebih dua minggu sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 dibubarkan pada 22 Januari lalu.

Ramai pemimpin daripada gabungan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) serta parti-parti baru seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serta Parti Warisan (Warisan) dilihat mulai turun padang sejak Jumaat (4 Feb).

BN bermula dengan pelancaran jentera zon Wilayah Barat di Iskandar Puteri pada Jumaat yang dihadiri beberapa pemimpin tertinggi UMNO, MCA dan MIC termasuk Pengerusi BN dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka turut dijadual melancarkan jentera di empat zon lagi dalam tempoh dua minggu ini dengan Zon Utara dilancarkan di Kompleks Seri Pekembar Pagoh semalam (6 Feb).

Ketika ditanya mengenai kerancakan parti-parti politik turun padang meskipun SPR belum menamakan tarikh PRN, Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan berkata ia adalah cerminan kepada betapa pentingnya PRN Johor kepada parti-parti politik.

“Walaupun tarikh (PRN) belum diumumkan dan prosedur operasi standard (SOP) belum betul-betul jelas tetapi kita dah turun dengan agresif dari peringkat awal,” katanya ketika ditemui Bernama.

Sementara itu, Bersatu memulakan program turun padang mereka dengan Jelajah Penerangan Isu Semasa yang diketuai Ketua Penerangan Bersatu Pusat Wan Saiful Wan Jan, bermula di Muar, disusuli beberapa siri jelajah di Kluang dan Pontian selain turut melancarkan jentera mereka di beberapa kawasan.

Tidak ketinggalan, Pengerusi PH dan Presiden PKR Anwar Ibrahim berada dua hari di negeri itu dengan menghadiri beberapa acara rakyat dan melancarkan jentera Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor.

Menerusi ucapan pada satu majlis, Anwar menyeru jentera PH supaya bekerja lebih keras mulai sekarang tanpa memikirkan siapa calon yang akan bertanding.

“Tidak kira pasal calon, kita bercakap sekarang ini soal jentera-jentera untuk persiapan PRN, tetapi kita ada beberapa hari lagi (sebelum SPR umum tarikh mengundi dan perincian PRN Johor), (gerak kerja) itu perlu jalan seolah-olah pilihan raya dalam dua atau tiga hari lagi,” katanya.

DAP juga agresif dengan menamakan calon-calon yang akan bertanding di bawah tiket PH bermula sejak Jumaat dengan Naib Pengerusi DAP Johor yang juga penyandang kerusi DUN Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali menjadi calon pertama dinamakan.

MUDA yang baru sahaja didaftarkan tahun lalu dan diketuai Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga giat menjalankan aktiviti bersama rakyat dalam usaha meraih undi khususnya golongan muda.

Apa yang pasti, semua parti dilihat bekerja keras dalam memastikan kemenangan mereka pada PRN akan datang, terutama dengan Johor menjadi negeri pertama merasai pelaksanaan pendaftaran automatik dan Undi18 dengan pertambahan 28 peratus pengundi iaitu 749,731 orang kepada 2.599 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN tersebut.

Di sebalik ‘keghairahan’ parti-parti tersebut berkempen, yang penting janganlah dilupa SOP COVID-19 yang perlu dipatuhi apatah lagi kes baru semakin meningkat memandangkan Johor mencatatkan antara kes tertinggi dalam negara setiap hari.

SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor selepas mesyuarat khas pada Rabu ini (8 Feb).

Sumber : Bernama/KF/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan