Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Badan Pengurusan Kewangan Haji Indonesia galak golongan muda daftar haji

Anggaran Waktu Membaca:
Badan Pengurusan Kewangan Haji Indonesia galak golongan muda daftar haji

Seorang kanak-kanak di tanah suci Makkah. (Gambar: AFP/KHALED DESOUKI)

BANDA ACEH: Badan Pengurusan Kewangan Haji (BPKH) Indonesia menggalakkan masyarakat Islam supaya mendaftar untuk haji pada usia mudia, memandangkan tempoh menunggu untuk menunaikan ibadah haji mungkin mengambil masa yang lama di Indonesia.

"Kempen haji bagi golongan muda ini merupakan salah satu usaha BPKH untuk menggalak generasi muda supaya menyedari dan terlibat dalam perancangan untuk menunaikan ibadah haji," kata Timbalan Sekretariat Agensi dan Kemaslahatan BPKH, Juni Supriyanto di Banda Aceh pada Selasa (12 Sep).

Melalui kempen ditujukan kepada golongan muda, Encik Juni berkata, BPKH menggalakkan masyarakat Muslim membuat persiapan untuk menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Makkah sejak usia muda, lapor Antara.

Beliau menambah bahawa pelaksanaan ibadah haji, iaitu rukun Islam yang kelima, sebaiknya dirancang dan dipersiapkan sejak usia muda.

"Kami menggalakkan anak muda untuk melakukan pendaftaran haji, mempersiapkan haji dengan baik, dari sisi kewangan, kesihatan, mahupun dari sisi keilmuan," kata Encik Juni.

Beliau berkata, setakat ini, 5.3 juta warga Indonesia sudah berada di dalam senarai menunggu untuk melaksanakan ibadah haji.

Tempoh menunggu secara purata adalah 25 tahun selepas mereka mendaftar.

Dengan keadaan sedemikian, ia memberikan gambaran bahawa seorang individu yang mendaftar untuk haji pada usia 12 tahun, akan melaksanakan ibadah haji pada usia 37 tahun.

"Pada usia tersebut, kita berada di usia yang matang, produktif, dalam keadaan sihat, dan mungkin cukup dari segi kewangan," katanya.

Encik Juni berkata bahawa kempennya sudah dijalankan selama tiga tahun yang melibatkan sekolah, universiti, pesantren, dan anggota masyarakat, seperti dinukil laporan Antara.

"Sejak tiga tahun kebelakangan ini, kita dapat lihat perubahan pada pendaftaran haji, mereka yang lebih muda, yang sebelumnya kurang untuk berdaftar, sudah menjadi golongan majoriti," tambahnya.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan