Badan Peguam Malaysia kecam ‘keheningan' berhubung isu persaraan Ketua Hakim Negara
Sehari sebelum tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara Malaysia Tengku Maimun Tuan Mat tamat, Badan Peguam Malaysia pada Isnin (30 Jun) menyuarakan kebimbangan terhadap ketiadaan sebarang berita rasmi mengenai lanjutan tempoh perkhidmatannya atau siapa penggantinya.
Ketua Hakim Negara Malaysia, Tengku Maimun Tuan Mat. (Gambar: Facebook/Badan Kehakiman Malaysia)
“Keheningan dan ketidakpastian pada tahap ini berkenaan hal yang melibatkan jawatan tertinggi badan kehakiman adalah sesuatu yang tidak boleh dipertahankan,” kata Badan Peguam Malaysia itu, yang dianggotai 21,400 peguam bela dan peguam cara, dalam satu kenyataan yang tegas.
“Jawatan Ketua Hakim Negara bukan sekadar simbolik sahaja — ia teras kepada integriti, kebebasan, dan kelancaran keseluruhan sistem kehakiman. Membiarkan jawatan ini dalam keadaan tidak menentu begitu hampir dengan tarikh persaraan mencerminkan kegagalan dalam tanggungjawab institusi.”
Presiden Badan Peguam Malaysia, Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata lagi, perkara itu “bukan sekadar satu kelalaian pentadbiran”.
“Kegagalan dalam tadbir urus ini boleh menjejas keyakinan awam, membuka ruang kepada spekulasi dan andaian tidak sihat terhadap sistem perundangan negara,” tambahnya.
Ketua Hakim Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Tengku Maimun akan mencapai umur persaraan wajib, iaitu 66 tahun, pada 2 Julai. Kebimbangan mengenai persaraannya mula timbul sejak beberapa bulan lalu, di tengah-tengah desas-desus mengenai kemungkinan campur tangan politik dalam pelantikan baharu badan kehakiman, seperti yang dilaporkan Mediacorp pada Februari.
Pihak berkepentingan mengatakan bahawa cara pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengurus proses penggantian Tengku Maimun, iaitu Ketua Hakim Negara wanita pertama di Malaysia, akan diperhatikan dengan teliti.
Ketua Hakim Negara Tengku Maimun sangat dihormati dalam kalangan komuniti perundangan dan diiktiraf atas usahanya memulihkan reputasi badan kehakiman negara selepas institusi tersebut melalui beberapa tahun yang dianggap tercemar oleh sesetengah pihak.
Beliau merupakan antara sembilan daripada 14 hakim Mahkamah Persekutuan, badan kehakiman tertinggi negara, yang akan mencapai umur persaraan dalam tempoh beberapa bulan antara satu sama lain.
PELANTIKAN HAKIM TIDAK SEPATUTNYA DIPOLITIKKAN: ANWAR
Di tengah-tengah gesaan oleh individu seperti mantan Presiden Badan Peguam Malaysia, Christopher Leong, agar tempoh perkhidmatan Tengku Maimun disambung, Encik Anwar turut bersuara mengenai isu tersebut pada Isnin.
Katanya, beliau tidak pernah campur tangan dalam urusan kehakiman termasuk pelantikan hakim.
“Apabila seseorang bersara, perkhidmatan mereka tidak disambung secara automatik,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri.
“Ada yang bertanya, adakah ini keputusan perdana menteri? Tetapi kalau kita faham Perlembagaan Persekutuan, kita tahu prosesnya,” katanya seperti yang dilaporkan oleh media New Straits Times (NST).
“Tengok sahaja pelantikan-pelantikan terkini, yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong, kemudian dibawa untuk perbincangan dengan Majlis Raja-Raja. Semua prosedur ini mesti dipatuhi.”
Encik Anwar berkata pelantikan hakim tidak seharusnya dipolitikkan. Beliau juga mengatakan bahawa beliau mengelakkan diri daripada berinteraksi dengan hakim kanan, kecuali Tengku Maimun, dan itu pun hanya bagi urusan rasmi.
“Saya dengar tentang isu-isu yang dibangkitkan. Tetapi dalam semua pertemuan itu, saya tidak pernah campur tangan dalam urusan kehakiman,” katanya.
“Apa-apa keputusan yang mereka buat adalah di bawah bidang kuasa mereka sepenuhnya. Saya tidak pernah campur tangan. Namun, itu pun juga dipolitikkan.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.