Badan kemanusiaan dunia beri amaran krisis makanan di kem pelarian Rohingya
Pertubuhan kemanusiaan terbesar dunia membuat rayuan pada Rabu (18 Sep) bagi sumbangan untuk menampung kekurangan dana sebanyak AS$40 juta (S$55 juta). Ini untuk menanggung hampir seramai 900,000 pelarian Rohingya.

Pelarian Rohingya. (Gambar: Munir Uz Zaman/AFP)
DHAKA: Pertubuhan kemanusiaan terbesar dunia membuat rayuan pada Rabu (18 Sep) bagi sumbangan untuk menampung kekurangan dana sebanyak AS$40 juta (S$55 juta). Ini untuk menanggung hampir seramai 900,000 pelarian Rohingya.
Dengan bekalan makanan dijangka kehabisan dalam tempoh dua bulan, Program Makanan Dunia (WFP) memberi amaran, krisis makanan bakal berlaku di kem penuh sesak di Cox’s Bazar, Bangladesh kecuali penyumbang memberi lebih banyak sumbangan.
Jurucakap bahagian bantuan makanan PBB, Encik Hervé Verhoosel memberitahu media di Geneva Jumaat lalu, pertubuhan itu memerlukan kira-kira AS$16 juta (S$22 juta) setiap bulan untuk memberi makan kepada pelarian Rohingya, lapor Arab News.
Pelan Tindak Balas Bersama PBB (JRP) dilancarkan awal tahun ini bagi mengumpul AS$920 juta (S$1268 bilion) untuk krisis kemanusiaan Rohingya.
Menurut sistem pengesanan kewangan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (OCHA), hanya 38 peratus daripada sumbangan yang disasarkan dikumpul setakat tahun ini.
Daripada dana yang disumbangkan oleh penyumbang, kira-kira 35.8 peratus digunakan untuk jaminan makanan sementara 17.3 peratus dan 34.7 peratus masing-masing diperuntukkan bagi kesihatan dan zat.
“Kami hanya memiliki bekalan yang boleh bertahan dua bulan dan kekurangan dana sekitar AS$40 juta (S$55 juta) bagi tempoh Ogos sehingga Januari depan.
“JRP hanya memiliki 30 peratus dana, sekali gus bermaksud pelaksanaan program akan terjejas tahun ini. Pembiayaan sentiasa menjadi kebimbangan pertubuhan bantuan, terutama ketika kami mengalami tahun kedua krisis,” kata jurucakap WFP di Cox’s Bazar, Gemma Snowdon kepada Arab News.
WFP memerlukan AS$24 juta (S$33 juta) sebulan untuk mengekalkan operasi di Cox’s Bazar termasuk AS$16 juta (S$22 juta) untuk makanan. Pertubuhan itu juga menjalankan kerja kejuruteraan dan pengurangan risiko bencana dalam kem serta mengendalikan program nutrisi, kehidupan dan program makanan persekolahan untuk para pelarian Rohingya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.