Badan Gizi Nasional Indonesia utamakan kecekapan, tadbir urus setelah berkas mantan ketuanya
Badan Gizi Nasional (BGN) menyatakan ia akan mengutamakan kecekapan dan tadbir urus yang lebih kukuh dalam pelaksanaan program utama pemerintah, Makan Bergizi Gratis (MBG), menyusuli rombakan kepimpinan mengejut yang diarahkan oleh Presiden Prabowo Subianto.
Ketua Badan Gizi Nasional (BGN) yang baharu, Nanik S. Deyang. (Gambar: Laman web BGN)
Encik Prabowo pada Selasa (2 Jun) secara mengejut memecat Ketua BGN Dadan Hindayana, hanya beberapa jam selepas mereka berdua meninjau-ninjau program tersebut di sebuah sekolah di Jakarta. Beliau melantik sekutu lamanya, Nanik S. Deyang, yang sebelum ini ialah Naib Ketua BGN, sebagai ketua baharu. Cik Nanik akan dibantu oleh Agustina Arumsari dan Mejar Jeneral Trenggono sebagai naib ketua.
Dua naib ketua, Lodewijk Paulus dan Sony Sanjaya, turut digugurkan daripada jawatan mereka. Mereka kemudian diberkas oleh Kejaksaan Agung (Pejabat Peguam Negara, AGO) Indonesia pada Rabu (3 Jun) selepas dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah yang dipercayai berkaitan dengan program MBG semasa mereka berkhidmat di BGN. Ketiga-tiga pegawai itu akan ditahan selama 20 hari sedang pihak pendakwa menyiasat tuduhan penyelewengan dalam pengurusan program dan proses pemerolehan.
Menyusuli peralihan kepimpinan itu, Cik Nanik berkata agensi tersebut akan memperhebatkan langkah-langkah kecekapan, termasuk mengalihkan tumpuan daripada memperluaskan jumlah penerima kepada usaha meningkatkan mutu perkhidmatan dan tadbir urus.
"Kami berharap dapat terus mengurangkan belanja tanpa mengurangkan sasaran. Kami akan meneruskan langkah-langkah kecekapan dalam pelbagai bidang," kata beliau. Belanjawan MBG telah dikurangkan kepada Rp268 trilion (S$$19.07 bilion) daripada jumlah asal Rp335 trilion (S$23.843 bilion).
Daripada memburu sasaran 82 juta penerima bantuan, agensi itu menyatakan ia akan memberi keutamaan kepada usaha memastikan kemudahan penyediaan makanan memenuhi piawai kualiti.
"Kami mungkin tidak akan mengejar sasaran 82 juta penerima, sebaliknya memastikan dapur-dapur yang digunakan sihat dan menyediakan makanan berkhasiat," kata Cik Nanik.
Sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula itu, BGN menggariskan empat langkah utama: menumpukan semula perhatian kepada kumpulan penerima, mengenakan moratorium terhadap pembinaan dapur baharu, menaik taraf kemudahan sedia ada dan latihan kakitangan, serta memperkukuh penghantaran di kawasan pedalaman dan wilayah terpencil.
Di kawasan kurang membangun dan terpencil, agensi itu merancang untuk menggunakan model penghantaran alternatif seperti kantin sekolah dan dapur masyarakat bagi mengurangkan kos prasarana. Keutamaan akan diberikan kepada golongan rentan termasuk wanita hamil, ibu menyusu dan kanak-kanak kecil.
"Kami tidak semestinya perlu membina dapur baharu. Kami boleh menggunakan kemudahan sedia ada seperti kantin sekolah," kata Cik Nanik.
Naib Ketua BGN Agustina Arumsari berkata pembaharuan itu juga akan memberi tumpuan kepada kawalan dalaman yang lebih kukuh, integrasi data yang lebih baik dan pemantauan yang lebih sistematik bagi memastikan kebertanggungjawaban.
Program Makan Bergizi Gratis kekal sebagai antara dasar utama Encik Prabowo yang bertujuan untuk mengurangkan masalah kebantutan dan memperkukuh pembangunan modal insan Indonesia dalam jangka panjang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.