Azwan Ali tampil bergaya sebagai calon bebas bagi PRU14
Amboi, amboi, amboi! Selebriti popular Azwan Ali tampil selaku calon paling bergaya bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini berbanding calon-calon lain yang mengenakan pakaian parti masing-masing.
Gambar: Astro AWANI
BUKIT ANTARABANGSA: Amboi, amboi, amboi! Selebriti popular Azwan Ali tampil selaku calon paling bergaya bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini berbanding calon-calon lain yang mengenakan pakaian parti masing-masing.
Ditemani seorang penyokong dan pencadang, Azwan Ali yang memakai jaket merah melengkapkan penampilan dirinya dengan memakai kaca mata hitam dan beg tangan berwarna emas.
Ketika ditemui wartawan Astro AWANI di Dewan Dato Ahmad Razali, Ampang, Selangor kira-kira jam 7.15 pagi tadi (28 Apr), Azwan Ali menguntum senyuman lebar dengan membawa sepanduk tertulis nama komersilnya, 'DIVA AA'.
Azwan Ali akan berdepan dengan abangnya, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.
Selain selebriti tanah air itu dan abangnya, kerusi berkenaan turut ditandingi calon Barisan Nasional daripada UMNO, Salwa Yunus, calon PAS Syarifah Hazlizah Syed Hussain dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Ahmad Kamarudin.
Lebih 1,000 penyokong parti-parti yang bertanding hadir memberi sokongan kepada calon-calon mereka pagi tadi.
Azwan Ali yang sebelum ini lantang mengkritik abangnya, ketika ditemui pemberita berkata beliau akan menggunakan pendekatan kempen yang lebih berhemah dan tidak mahu lagi membuat serangan peribadi terhadap Mohamed Azmin.
"Hari ini saya datang untuk berbakti kepada rakyat DUN Bukit Antarabangsa. Manifesto saya jelas bahawa tetap rakyat nombor satu. Untuk semua hal berkenaan Azmin, saya ingin tutup buku.
"Saya ada banyak kempen dan strategi untuk memenangi hati rakyat di sini dan antaranya saya akan mengedarkan kira-kira 50,000 rendang kepada penduduk DUN ini," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.