Azmin tegur Anwar agar lebih bertanggungjawab apabila sentuh isu darurat
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Encik Mohamed Azmin Ali mengingatkan Encik Anwar Ibrahim supaya lebih bertanggungjawab apabila menyentuh mengenai pengisytiharan proklamasi darurat yang dilaksanakan untuk menangani penularan pandemik COVID-19.
(Gambar: Bernama)
KOTA TINGGI: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Encik Mohamed Azmin Ali mengingatkan Encik Anwar Ibrahim supaya lebih bertanggungjawab apabila menyentuh mengenai pengisytiharan proklamasi darurat yang dilaksanakan untuk menangani penularan pandemik COVID-19.
Encik Mohamed Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata Ketua Pembangkang itu tidak seharusnya mengheret rakyat ke dalam isu berkenaan di kala rakyat memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan termasuk mangsa dan pesakit COVID-19.
“Ini adalah isu rakyat. Ini adalah isu keselamatan rakyat dan kesihatan rakyat. Jangan berpolitik berpanjangan.
Mereka boleh memberikan pandangan dan kritikan kepada kerajaan tetapi jangan bermain politik sehingga memberi kesan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan ketika misi bantuan kemanusiaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensi di bawahnya di Jabatan Kebajikan Masyarakat Kota Tinggi pada Ahad (17 Jan).
Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson itu pada Khamis lalu (14 Jan) yang sudah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen bagi mengajak mereka mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menarik balik pengisytiharan darurat.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga dilaporkan berkata selain pembatalan darurat, surat itu juga berharap agar Agong menitahkan sidang Parlimen diadakan dalam kadar segera sebelum 31 Januari ini.
Encik Mohamed Azmin, yang juga Menteri Kanan dan Menteri MITI itu berkata meskipun darurat dilaksanakan, ia tidak mengganggu perjalanan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri memandangkan tanggungjawab utama mereka adalah membantu rakyat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.