Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Azmin atasi Rafizi di cabang Kuala Selangor

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali mengatasi pencabar tunggalnya dalam saingan jawatan timbalan presiden PKR, Encik Mohd Rafizi Ramli, pada pemilihan parti di cabang Kuala Selangor hari ini (11 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Azmin atasi Rafizi di cabang Kuala Selangor

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali. (Gambar: Azmin Ali/Facebook)

Diterbitkan : 11 Nov 2018 08:29PM Dikemas Kini : 11 Nov 2018 08:32PM

SHAH ALAM: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia Mohamed Azmin Ali mengatasi pencabar tunggalnya dalam saingan jawatan timbalan presiden PKR, Encik Mohd Rafizi Ramli, pada pemilihan parti di cabang Kuala Selangor hari ini (11 Nov).

Ketua Penyelaras PKR Selangor, Hassan Yusof mendedahkan Encik Azmin mendapat 982 undi sementara Encik Mohd Rafizi memperoleh 389 undi.

Ini menjadikan undian terkumpul diperoleh Encik Mohamed Azmin di kesemua 22 cabang di Selangor berjumlah lebih 19,000 undi manakala Encik Mohd Rafizi yang juga naib presiden PKR memperoleh sekitar 15,000 undi.

Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), bagaimanapun hanya akan memuktamadkan keputusan berkenaan selepas Peti Undi Ragu diproses.

Selain Kuala Selangor, Encik Mohamed Azmin mendapat sokongan dari 15 cabang lain, di Sabak Bernam, Sungai Besar, Serdang, Subang, Kota Raja, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Petaling Jaya (PJ) Utara, PJ Selatan, Tanjong Karang, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.

Encik Mohd Rafizi pula memperoleh sokongan daripada enam cabang melibatkan Hulu Selangor, Kelana Jaya, Kapar, Klang, Puchong dan Selayang.

Selangor yang dikatakan ‘kubu kuat’ kepada Encik Mohamed Azmin yang merupakan bekas menteri besar Selangor itu, mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi sebanyak 249,850 orang.

Menurut Encik Hassan, kawalan keselamatan ketika proses pemilihan di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKL) Bestari Jaya, Kuala Selangor, turut diperketatkan bagi mengelak insiden penemuan alat penghalang isyarat telekomunikasi (jammer) berulang.

Sebelum ini, proses pemilihan cabang itu yang sepatutnya berlangsung di pusat pengundian di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 28 Oktober lalu, terpaksa ditangguhkan berikutan ketiadaan isyarat telekomunikasi.

Polis kemudian mengesahkan mengenai penemuan ‘jammer’ di bahagian tempat duduk stadium berkenaan oleh petugas MDKL ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan.

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan