Azmin Ali: M'sia, S'pura akan sambung semula perbincangan projek kereta api laju
Kerajaan Malaysia dan Singapura sudah bersetuju untuk menyambung semula perbincangan mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi KL-Singapura (HSR) dalam masa terdekat.

(Gambar: Bernama)
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan Singapura sudah bersetuju untuk menyambung semula perbincangan mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi KL-Singapura (HSR) dalam masa terdekat.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Encik Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan hari ini (31 Mei) berkata perbincangan itu akan merangkumi beberapa cadangan perubahan dalam aspek komersial dan teknikal.
Menurutnya, keputusan tersebut dicapai setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan keputusan mengenai HSR sehingga 31 Dis 2020.
“Saya telah diminta oleh Jemaah Menteri untuk mengetuai pasukan Malaysia dalam perbincangan dengan Kerajaan Singapura mengenai projek ini,” kata Encik Mohamed Azmin.
Menteri Pengangkutan Singapura, Encik Khaw Boon Wan pada Jumaat (29 Mei) sudahpun menyatakan bahawa pihaknya memberikan "pertimbangan yang kuat" terhadap permintaan Malaysia untuk melanjutkan penangguhan projek Kereta Api Kelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).
"Kami kekal komited dan bersemangat dan positif tentang prospek projek ini, bagi kedua-dua negara dan rakyat kita.
"Tentunya projek ini ditangguhkan buat masa ini kerana Malaysia sedang mempertimbangkan membuat beberapa perubahan", kata Encik Khaw mengenai prospek projek itu kepada Singapura dan Malaysia.
"Malah beberapa hari lalu, mereka meminta akan kemungkinan melanjutkan penangguhannya agar kita boleh meneruskan perbincangan tentang perubahan yang mereka inginkan," tambah Encik Khaw lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.