Azmin Ali gesa pelantikan jawatan utama dalam PKR diteliti semula
Timbalan Presiden PKR Encik Mohamed Azmin Ali menggesa supaya pelantikan jawatan utama parti itu yang diumum pada Jumaat (28 Dis), diteliti semula.
Encik Mohamed Azmin Ali. (Gambar: Azmin Ali/Facebook)
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR Encik Mohamed Azmin Ali menggesa supaya pelantikan jawatan utama parti itu yang diumum pada Jumaat (28 Dis), diteliti semula.
Dakwanya, pelantikan yang diumumkan itu tidak mencerminkan prinsip perwakilan yang adil dan saksama terhadap aspirasi anggota dan tidak akan membantu parti untuk maju ke hadapan.
Malah dakwanya lagi beberapa individu yang dinamakan juga terlibat secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti.
"Pelantikan yang menyusul selepas pemilihan parti yang sengit perlu mengambil kira pandangan akar umbi dalam semangat musyawarah dan saling hormat-menghormati demi mengembalikan perjuangan parti ke landasan yang sebenar," katanya dalam satu kenyataan hari ini (29 Dis).
Semalam (28 Dis), Presiden PKR Encik Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan mengumumkan pelantikan bekas Anggota Parlimen Pandan Encik Rafizi Ramli di samping dua lagi nama sebagai naib presiden parti dan beberapa pelantikan bagi jawatan lain dalam Majlis Pimpinan Pusat PKR.
Turut diumum pelantikan semula Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Encik Saifuddin Nasution Ismail sebagai Setiausaha Agung parti.
Encik Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata jawatan Setiausaha Agung adalah jawatan penting yang harus dipikul seseorang yang profesional dan wibawa dalam memahami tugas pengurusan dan pentadbiran.
"Beliau perlu melaksanakan tugas selaras dengan keputusan parti yang dibuat secara konsensus dan bukan mengambil pendirian secara berasingan.
"Begitu juga pelantikan MPP yang seharusnya dibuat berdasarkan merit dan bukan sebagai imbuhan atau sogokan politik untuk meraih sokongan undi dalam MPP," katanya dan menambah bahawa beliau akan sekali lagi merujuk perkara ini kepada presiden parti yang telah sedia maklum dengan pendiriannya dan majoriti MPP yang dipilih, selepas dimaklumkan mengenainya beberapa minggu lepas.
Encik Mohamed Azmin menggesa presiden parti memberi perhatian serius kepada isu yang dibangkitkan demi menjamin masa hadapan parti yang kukuh dan inklusif.
"Sesungguhnya, idealisme reformasi dalam PKR menuntut kita bergerak dengan kekuatan organisasi yang mantap dan meraikan kerencaman pandangan serta inklusif dalam menggarap seluruh kekuatan sumbangan anggota PKR," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.