Skip to main content

Dunia

Azerbaijan dan Armenia bakal meterai perjanjian damai: Rumah Putih

Anggaran Waktu Membaca:
Azerbaijan dan Armenia bakal meterai perjanjian damai: Rumah Putih

Bendera Armenia berkibar di tebing jalan raya luar perkampungan Voskepar in timur laut Armenia pada 27 Mac 2024. (Gambar fail: AFP/Karen Minasyan)

WASHINGTON: Azerbaijan dan Armenia akan menandatangani perjanjian damai awal pada Jumaat (8 Ogos) untuk meningkatkan hubungan ekonomi antara kedua-dua negara selepas konflik berdekad-dekad, menurut Rumah Putih. Presiden Donald Trump dijadual menyambut pemimpin kedua-dua negara untuk upacara menandatangani perjanjian di Rumah Putih.

Jurucakap Rumah Putih, Anna Kelly, memberitahu wartawan bahawa Encik Trump akan menandatangani perjanjian berasingan dengan Armenia dan Azerbaijan mengenai tenaga, teknologi, kerjasama ekonomi, keselamatan sempadan, prasarana dan perdagangan. Tiada butiran lanjut diberikan.

Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev dan Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan dijadual tiba di Rumah Putih untuk rundingan dan upacara menandatangani perjanjian sekitar pukul 2.30 petang, kata salah seorang pegawai.

Perjanjian itu termasuk hak pembangunan eksklusif Amerika Syarikat untuk koridor transit strategik melalui Caucasus Selatan, yang diberi nama "Laluan Trump untuk Keamanan dan Kemakmuran Antarabangsa".

"Apa yang akan berlaku di sini dengan laluan Trump adalah, ini bukan kerja amal. Ini adalah entiti yang sangat boleh dilaburkan," kata seorang pegawai kanan pentadbiran, sambil menambah bahawa sekurang-kurangnya sembilan syarikat sudah berhubung dalam beberapa hari kebelakangan ini untuk membincangkan kemungkinan pelaburan.

Pegawai kanan pentadbiran memberitahu wartawan bahawa perjanjian itu adalah yang pertama untuk menamatkan salah satu daripada beberapa konflik beku di pinggir Rusia sejak berakhirnya Perang Dingin dan berkata ia akan menghantar isyarat yang kuat kepada seluruh rantau itu.

"Ini bukan hanya mengenai Armenia. Ini bukan hanya mengenai Azerbaijan. Ini adalah mengenai seluruh rantau, dan mereka tahu bahawa rantau itu akan menjadi lebih selamat dan lebih makmur dengan Presiden Trump," kata seorang pegawai kanan pentadbiran.

Armenia dan Azerbaijan sudah bermusuhan sejak akhir 1980-an apabila Nagorno-Karabakh - sebuah wilayah Azerbaijan yang kebanyakannya mempunyai penduduk etnik Armenia - berpisah dari Azerbaijan dengan sokongan dari Armenia. Kedua-dua Armenia dan Azerbaijan memperoleh kemerdekaan dari Kesatuan Soviet pada tahun 1991.

Perjanjian damai boleh mengubah Caucasus Selatan, sebuah rantau pengeluar tenaga yang bersempadan dengan Rusia, Eropah, Turki, dan Iran yang dilalui oleh saluran paip minyak dan gas tetapi dipisahkan oleh sempadan tertutup dan konflik etnik yang berpanjangan.
Sumber : AP/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita