Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ayah, murid sekolah maut dalam perjalanan duduki peperiksaan

Dua beranak maut selepas motosikal mereka naiki, dirempuh sebuah bas Rapid Penang di Jalan Teluk Air Tawar pada Isnin (25 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Ayah, murid sekolah maut dalam perjalanan duduki peperiksaan

Gambar hiasan. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 25 Nov 2019 10:54PM Dikemas Kini : 25 Nov 2019 10:59PM

BUTTERWORTH: Dua beranak maut selepas motosikal mereka naiki, dirempuh sebuah bas Rapid Penang di Jalan Teluk Air Tawar pada Isnin (25 Nov).

Dalam kemalangan yang berlaku pada kira-kira pukul 6.30 pagi itu, Syamsul Shahril Abdul Rahman, 51, yang menunggang motosikal dalam perjalanan menghantar anaknya Muhammad Adam, 17, ke Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Air Tawar bagi menduduki kertas subjek Biologi peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata Syamsul Shahril maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala anak lelakinya meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ).

"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila motosikal dinaiki dua beranak dari arah Bagan Ajam menghala ke Teluk Air Tawar yang berada di lorong kiri telah mengubah haluan ke lorong kanan sehingga masuk ke laluan bas yang berada di belakang.

"Tindakan penunggang motosikal mengubah haluan itu telah menyebabkan bas tersebut gagal mengelak dan melanggar belakang motosikal berkenaan," katanya ACP Noorzainy hari ini.

Beliau berkata pemandu bas berusia 48 tahun itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis menahan lelaki berkenaan untuk siasatan lanjut.

Katanya mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat.

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai atau saksi yang melihat kemalangan itu untuk tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes tersebut.

"Pemandu bas itu akan dibawa ke Mahkamah Butterworth esok bagi mendapatkan perintah reman. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

"JAGA MAK BAIK-BAIK, ADIK NAK PERGI"

Sementara itu anak sulung Allahyarham Syamsul, Muhammad Arif, 21, ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB), di sini berkata, selepas dihubungi ibunya yang memaklumkan beliau mengenai kemalangan itu, beliau terus tergamam, dan terdiam seketika.

"Kebiasannya sebelum ke tempat kerja, ayah akan menghantar Adam di jeti dan kemudian adik akan menaiki bas tetapi hari ini lain pula.. kami pun tidak tahu ayah pergi hantar Adam. Ini semuanya takdir, kami kehilangan dua orang tersayang serentak, dan walaupun sedih kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata adik Muhammad Adam yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik, disifatkan seorang yang penyayang serta patuh pada nasihat ibu bapa, dan minggu lepas adiknya itu ada berpesan kepadanya supaya menjaga ibu mereka, Noraziah Salleh, 50, kerana dia bakal meninggalkan keluarga itu.

"Hari ini baru saya teringat Adam pernah pesan jaga mak baik-baik, adik nak pergi dulu minggu lepas.. rupanya itu adalah petanda bahawa dia akan pergi dengan ayah untuk selama-lamanya," katanya.

Beliau berkata Muhammad Adam yang sebelum ini seorang periang dan kerap berbual, berubah sikap sejak minggu lepas apabila dia kerap berkurung di dalam bilik, dan beliau menyangka kelakuan itu hanya biasa memandangkan adiknya sedang sibuk membuat persiapan bagi menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekarang ini.

Jenazah dua beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Bandar Perda selepas solat Asar pada Isnin.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan