Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Awas! Jangan terpedaya maklumat palsu mengenai fenomena Aphelion

Anggaran Waktu Membaca:
Awas! Jangan terpedaya maklumat palsu mengenai fenomena Aphelion

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Jun 2022 12:38PM Dikemas Kini : 18 Jun 2022 12:39PM
KUALA LUMPUR: Maklumat tersebar termasuk di WhatsApp dan media sosial bahawa Malaysia akan mengalami cuaca sejuk luar biasa hingga menjejaskan kesihatan, kesan fenomena Aphelion bermula esok hingga Ogos adalah palsu.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, menegaskan perkongsian terbabit yang memaklumkan kononnya cuaca sejuk daripada fenomena akan memberi kesan selesema, batuk dan sesak nafas adalah tidak benar, lapor BH Online.

Beliau berkata, fenomena Aphelion dijangka bermula pada 4 Julai depan iaitu keadaan di mana kedudukan bumi berada dalam orbit yang paling jauh dari matahari.

"Maklumat dikongsi itu palsu (hoax), termasuk dakwaan akan mengalami sakit tertentu itu tidak benar," kata beliau kepada BH Online, pada Sabtu (18 Jun).

Menerusi perkongsian maklumat terbabit, mendakwa fenomena Aphelion akan bermula esok (19 Jun) hingga 22 Ogos depan dan negara akan mengalami cuaca sejuk lebih daripada cuaca sejuk sebelum ini yang akan memberi kesan kepada selesema, batuk, sesak nafas dan lain-lain.

Maklumat itu turut menggesa orang ramai meningkatkan daya ketahanan badan dengan mengambil vitamin dan suplemen tambahan.

Mengulas lanjut mengenai fenomena Aphelion, beliau berkata, ia berlaku setiap tahun dan masanya ialah kira-kira dua minggu selepas Solstis Musim Panas (21 Jun).

Kata beliau, tahun ini ia dijangka berlaku pada 4 Julai dan jarak maksimum antara bumi dan matahari ialah 152,098,455 kilometer pada pukul 3.15 petang waktu Malaysia.

"Bagaimanapun, hujan yang berlaku dua tiga hari kebelakangan ini disebabkan 'monsoon break' iaitu angin barat daya bertiup lemah dan bertumpu di kawasan barat Semenanjung.

"Keadaan ini menggalakkan pembentukan awan ribut petir intensif di kawasan berkenaan," katanya.

Encik Muhammad Helmi berkata, fenomena terbabit tidak memberi kesan kepada bumi dan negara, lapor BH Online.

"Sewaktu musim panas matahari berada jauh dari bumi, sebaliknya semasa musim sejuk matahari lebih hampir dengan bumi.

"Ia adalah fenomena semula jadi yang berlaku setiap tahun berikutan peredaran bumi mengelilingi matahari pada orbit yang berbentuk eliptikal," kata beliau.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan