Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Australia tarik balik keputusan iktiraf Baitulmakdis Barat sebagai ibu kota Israel

Anggaran Waktu Membaca:
 Australia tarik balik keputusan iktiraf Baitulmakdis Barat sebagai ibu kota Israel

Menteri Ehwal Luar Australia, Penny Wong berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di ibu pejabat PBB di bandar New York pada 23 Sept 2022. (Gambar: Yuki IWAMURA / AFP)

Diterbitkan : 18 Oct 2022 10:24AM Dikemas Kini : 18 Oct 2022 10:35AM
SYDNEY: Australia hari ini (18 Okt) menarik balik keputusan yang dibuat pemerintah sebelum ini untuk mengiktiraf Baitulmakdis Barat sebagai ibu kota Israel, sambil menambah status bandar tersebut harus dihuraikan menerusi rundingan damai antara Israel dan penduduk Palestin.

Menteri Ehwal Luar Australia, Penny Wong, berkata Australia "akan sentiasa menjadi rakan setia Israel" dan komited kepada huraian dua negara, di mana Israel dan Palestin hidup bersama dengan aman dalam sempadan yang diiktiraf antarabangsa.

Pemerintah Australia "mengesahkan semula komitmen negaranya kepada usaha antarabangsa untuk mencapai kemajuan yang adil dan bertahan lama ke arah huraian dua negara," menurut beliau dalam satu kenyataan.

Perdana menteri Australia sebelum ini, Encik Scott Morrison, mengambil langkah mengundurkan dasar Timur Tengah yang sudah ditetapkan sejak berdekad lalu pada Disember 2018 dengan berkata Australia mengiktiraf Baitulmakdis Barat sebagai ibu kota Israel tetapi tidak akan segera memindahkan kedutaannya di sana.
"Saya kesal kerana keputusan Encik Morrison untuk bermain politik menyebabkan Australia beralih pendirian dan kebimbangan yang dicetuskan ke atas ramai warga Australia yang amat prihatin terhadap isu tersebut," kata Cik Wong, seperti yang dilaporkan Reuters.

Encik Morrison menyatakan tentang pemindahan kedutaan Australia dari Tel Aviv pada 2018 hanya beberapa hari sebelum pilihan raya kecil di Sydney di mana terdapat ramai perwakilan Yahudi. Namun parti Encik Morrison kalah dalma pilihan raya tersebut.

Tindakan Encik Morrison itu mengundang kecaman daripada negara-negara jiran yang majoriti penduduknya beragama Islam seperti Indonesia dan Malaysia.
Pada Isnin (17 Okt), akhbar Guardian melaporkan perubahan kepada laman Jabatan Ehwal Luar dan Perdagangan yang memadamkan bahagian yang menyifatkan Baitulmakdis Barat sebagai ibu kota.
Sumber : Reuters/NK/ss

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa