Skip to main content

Dunia

Australia Selatan akan haramkan iklan makanan rapu dalam pengangkutan awam

Australia Selatan menjadi negeri pertama di Australia yang melarang iklan makanan rapu atau 'junk food' dipaparkan dalam pengangkutan awam.

Anggaran Waktu Membaca:
Australia Selatan akan haramkan iklan makanan rapu dalam pengangkutan awam

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 12 Jan 2025 02:54PM
CANBERRA: Australia Selatan menjadi negeri pertama di Australia yang melarang iklan makanan rapu atau 'junk food' dipaparkan dalam pengangkutan awam.

Ia merupakan usaha wilayah itu menangani gejala obesiti dan menggalakkan pemakanan sihat dalam kalangan penduduk.

Larangan itu yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025, melibatkan pengharaman gambar-gambar produk tidak sihat seperti coklat, gula-gula, pencuci mulut dan minuman ringan dalam bas, kereta api dan trem awam.

Bukti-bukti kukuh menunjukkan pemasaran makanan dan minuman berupaya mempengaruhi pengetahuan, pilihan dan corak makanan bagi kanak-kanak.

Iklan makanan dan minuman tidak sihat juga dikaitkan dengan gejala obesiti dan penyakit kencing manis jenis 2, menurut seorang pakar pada Sabtu (11 Jan).

Perangkaan pemerintah Australia Selatan mendedahkan lebih 63 peratus orang dewasa dan 35 peratus kanak-kanak di wilayah itu mengalami berat badan berlebihan.

Angka itu juga dijangka meningkat kepada seramai 1,900 kanak-kanak dan 48,000 orang dewasa dalam tempoh lima tahun akan datang jika tiada sebarang tindakan diambil.

Buat masa ini, hampir 80 peratus daripada iklan makanan dan minuman dalam bas-bas di sekitar Australia Selatan mempromosikan produk-produk yang tidak sihat untuk tubuh badan, menurut Majlis Barah SA.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita