Skip to main content

Dunia

Australia sahkan kes pertama selesema burung H5N1 pada mamalia

Anggaran Waktu Membaca:
Australia sahkan kes pertama selesema burung H5N1 pada mamalia

Sebuah tabung uji dengan label 'Selesema Burung', dalam gambar yang diambil pada 14 Januari 2023. (Gambar fail: Reuters/Dado Ruvic)

Diterbitkan : 23 Aug 2026 04:26PM Dikemas Kini : 23 Aug 2026 05:01PM
  • Pihak berkuasa di selatan Australia mengesahkan kes pertama H5N1 pada mamalia selepas seekor anjing laut ditemui mati di Beachport.
  • Penularan selesema burung bermula sejak Jun, dengan kematian besar-besaran burung laut pada Ogos menandakan peningkatan kes.
  • Anjing laut berisiko tinggi dijangkiti kerana hidup berhampiran burung liar, menurut Ketua Pegawai Veterinar Skye Fruean.
  • Setakat ini, H5N1 belum dikesan dalam sektor pertanian Australia, walaupun 297 kes telah disahkan di seluruh negara.
Dijana oleh AI
SYDNEY: Australia pada Ahad (23 Ogos) mengesahkan kes pertama H5N1 pada mamalia, selepas virus berbahaya itu dikesan pada sejenis anjing laut di selatan Australia.

Australia kini berdepan peningkatan kes selesema burung yang sangat patogenik iaitu boleh menyebabkan penyakit selepas virus tersebut mula dikesan di negara berkenaan pada Jun. Kematian besar-besaran burung laut pada Ogos, menandakan peningkatan penularan yang bermula selepas virus pertama kali dikesan dalam kalangan burung laut yang berhijrah sebelum merebak kepada spesies asli.

Pihak berkuasa di selatan Australia mengesahkan pengesanan pertama virus itu pada mamalia di negara berkenaan selepas anjing laut tersebut ditemui di bandar pantai Beachport, sekitar 310 kilometer ke selatan Adelaide.

Anjing laut itu, salah satu daripada anggaran 100,000 ekor di perairan wilayah berkenaan, ditemui mati tanpa tanda kecederaan, menurut pihak berkuasa.

Kematian itu “tidak kelihatan berkaitan dengan mamalia marin lain yang sakit atau mati”, kata Menteri Pertanian persekutuan Australia, Julie Collins dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.

“Apabila selesema burung H5 merebak dalam persekitaran semula jadi, adalah mustahil untuk mengelakkan jumlah kematian yang besar,” katanya.

Australia merupakan benua terakhir yang melaporkan kes selesema burung, meskipun virus itu dikesan pada lewat 2025 di wilayah sub-Antartika, Pulau Heard. Lebih 13,000 anak anjing laut mati akibat virus itu di pulau tersebut, menurut media tempatan.

Anjing laut berisiko tinggi dijangkiti virus itu kerana haiwan berkenaan hidup berhampiran burung liar di kawasan berbatu di pesisir pantai, kata Ketua Pegawai Veterinar di selatan Australia, Skye Fruean.

“Tidak diragukan lagi, haiwan itu terdedah kepada tahap virus yang sangat tinggi dalam persekitaran yang dihuni,” kata Encik Fruean dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.

H5N1 belum dikesan dalam kalangan ayam itik atau sektor pertanian Australia, menurut kerajaan persekutuan, yang menyatakan pada Jumaat (21 Ogos) bahawa 297 kes telah disahkan di seluruh negara itu.
Sumber : Reuters/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita