Australia sahkan kematian besar pertama burung laut akibat selesema burung H5N1
Tabung uji berlabel “Bird Flu”, telur dan kertas dengan warna bendera Australia dilihat dalam gambar ilustrasi yang dirakam pada 14 Januari 2023. (Gambar fail: Reuters/Dado Ruvic)
- Australia memberi amaran tentang risiko penularan selesema burung H5N1 selepas kematian besar burung laut berhampiran Cape Jaffa, dengan 49 burung mati dan 35 sakit.
- Menteri Pertanian Julie Collins mengesahkan ini adalah kejadian kematian berkelompok pertama akibat H5N1 di negara itu, dengan 74 kes dicatatkan setakat ini.
- Langkah pencegahan seperti memperketat keselamatan biologi di ladang dan ujian terhadap burung telah diambil untuk melindungi ternakan dan mengawal penularan.
- Walaupun H5N1 boleh menjangkiti manusia, pegawai menyatakan risiko kepada orang awam masih rendah dan Australia telah lama membuat persiapan menghadapi virus ini.
Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti virus berkenaan dikesan di ladang-ladang Australia, dengan banyak ladang memperketat langkah keselamatan biologi bagi melindungi ternakan ayam itik sejak H5N1 pertama kali dikesan pada Jun.
Menteri Pertanian Australia Julie Collins berkata ujian mengesahkan H5N1 pada sekumpulan 49 ekor burung yang mati dan 35 lagi yang sakit. Burung-burung itu dikesan menerusi pemantauan helikopter di kawasan berbatu berhampiran Cape Jaffa, kira-kira 250 kilometer dari Adelaide, pada Jumaat (31 Jul).
"Rakyat Australia harus menjangkakan penularan yang lebih meluas dan jumlah hidupan liar yang terjejas lebih besar selepas ini," kata Cik Collins kepada wartawan di Canberra.
Beliau berkata ia merupakan kes kematian berkelompok besar pertama yang disahkan di Australia.
Menurut Cik Collins, apabila selesema burung H5 mula menular dalam kalangan hidupan liar dan persekitaran semula jadi, kehilangan besar tidak dapat dielakkan.
Australia setakat ini mencatatkan 74 kes yang disahkan, meliputi kawasan sejauh Australia Barat hingga Queensland, meskipun kebanyakan kes dikesan di Australia Selatan.
Australia dan New Zealand, yang melaporkan kes H5N1 pertamanya bulan lalu, sudah bertahun-tahun membuat persiapan menghadapi virus tersebut.
Antara langkah yang diambil termasuk memperketatkan keselamatan biologi di ladang, menjalankan ujian terhadap burung di kawasan pantai, memberikan vaksin kepada spesies yang terdedah serta menguji pelan tindak balas.
Virus H5N1 sudah membunuh ratusan juta burung dan mamalia di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selain menyebabkan kerugian berbilion dolar kepada para penternak ayam itik.
H5N1 juga boleh menjangkiti manusia yang ada kontak dengan haiwan yang dijangkiti. Namun, jumlah kes manusia di seluruh dunia kekal rendah dan para pegawai menyatakan risiko kepada orang awam adalah rendah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.