Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Australia rancang perketat undang-undang media sosial terhadap catatan propengganas

Australia merancang memperkenalkan undang-undang media sosial yang lebih ketat minggu depan, bagi bertindak terhadap tulisan-tulisan propengganas.

Anggaran Waktu Membaca:
Australia rancang perketat undang-undang media sosial terhadap catatan propengganas

Sydney Opera House bermandikan cahaya dan lambang 'Silver Fern' (Gambar: Twitter/Gladys Berejiklian)

Diterbitkan : 30 Mar 2019 08:44PM Dikemas Kini : 30 Mar 2019 08:48PM

MELBOURNE: Australia merancang memperkenalkan undang-undang media sosial yang lebih ketat minggu depan, bagi bertindak terhadap tulisan-tulisan propengganas.

Jika dilaksanakan, negara itu akan menjadi yang pertama di dunia untuk mengenakan hukuman penjara dan denda berbilion dolar ke atas syarikat-syarikat media sosial terkemuka. Ini jika syarikat-syarikat tersebut tidak segera menghapuskan kandungan berunsur ganas dan berkaitan pengganasan daripada wadah masing-masing.

Di bawah undang-undang media sosial Australia yang lebih tegas itu, para kakitangan syarikat media sosial boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun
manakala pihak syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga 10 peratus daripada pendapatan tahunannya.

Satu juri akan menentukan jika sesebuah kandungan berunsur ganas di media sosial sudah dihapuskan secepat mungkin.

Menurut Perdana Menteri Australia Scott Morrison, syarikat-syarikat media sosial bertanggungjawab untuk memastikan wadah-wadah untuk kegunaan orang awam, selamat dan tidak digunakan oleh pengganas.

Tindakan tegas itu diumumkan selepas kejadian serangan pengganas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand lebih dua minggu lalu, disiarkan secara langsung di media sosial oleh penyerangnya, seorang lelaki Australia.

Di pihaknya pula, Facebook, akan mengetatkan peraturan penstriman video secara langsung.

Ia juga meninjau sekatan ke atas pihak yang boleh menggunakan ciri "Live", bergantung kepada faktor-faktor seperti pencabulan ke atas piawai masyarakat sebelum ini.

Facebook juga sedang melabur dalam perisian lebih baik bagi mengenal pasti dengan segera versi video atau imej ganas yang disunting semula, bagi mengekangnya daripada dikongsi atau dimuat naik semula.

Sementara itu, ada laporan-laporan menyatakan belanjawan Australia bagi tahun kewangan 2019/2020, akan menyertakan peruntukan tambahan sekitar AS$400 juta (S$384 juta) untuk keselamatan negara, tindakan antipengganas dan operasi antiperisikan.

Menurut akhbar Weekend Australian, majoriti peruntukan tambahan itu akan disalurkan kepada Polis Australia.

Pasukan tersebut dilaporkan mencatatkan tambahan tujuh kali ganda operasi antipengganasan dan lapan kali ganda jumlah orang yang dipantau di bawah senarai pantauan keselamatan.

PM Morrison dijangka membentangkan belanjawan Australia pada Selasa depan.

Sumber : Agensi berita/AA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan