Australia panggil duta besar Turki susuli komen 'menyinggung perasaan' oleh Presiden Erdogan
Perdana Menteri Australia berkata pada Rabu (20 Mac) bahawa beliau akan memanggil duta besar Turki ke Canberra, bagi menjelaskan komen-komen Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan "yang amat menyinggung perasaan".
SYDNEY: Perdana Menteri Australia berkata pada Rabu (20 Mac) bahawa beliau akan memanggil duta besar Turki ke Canberra, bagi menjelaskan komen-komen Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan "yang amat menyinggung perasaan". Ini menyusuli pembunuhan beramai-ramai di Christchurch.
Semasa berkempen untuk pilihan raya tempatan, Encik Erdogan membentangkan serangan itu sebagai satu serangan terhadap Turki dan Islam. Beliau memberi amaran kepada warga Australia yang anti-Islam akan menghadapi nasib serupa seperti askar-askar di Gallipoli, iaitu satu peperangan berdarah semasa Perang Dunia Pertama.
Presiden Erdogan juga berkata bahawa Turki akan membuat penyerang di Christchurch itu 'membayar harganya', jika New Zealand tidak berbuat demikian.
"Saya berpendapat ia komen yang amat menyinggung perasaan, sudah tentu saja, dan saya akan bertemu duta Turki hari ini untuk berbincang mengenai isu-isu itu," kata Encik Scott Morrison kepada penyiar negara ABC.
Encik Erdogan sudah dikecam teruk oleh New Zealand atas komen-komennya dan menggunakan paparan video yang kejam oleh penembak di masjid Christchurch sebagai satu peralatan kempen pilihan raya.
Timbalan Perdana Menteri Winston Peters membantah pada Isnin bahawa tindakan mempolitikkan pembunuhan beramai-ramai itu "membahayakan masa depan dan keselamatan warga New Zealand dan orang ramai di luar negara, dan ia benar-benar tidak adil".
Encik Peters mengumumkan pada Selasa (19 Mac) bahawa beliau akan ke Turki minggu ini atas permintaan Istanbul untuk menghadiri mesyuarat khas Pertubuhan Kerjasama Islam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.