Skip to main content

Dunia

Australia mulakan kerja pembersihan selepas banjir ragut 5 nyawa, musnahkan 10,000 rumah

Anggaran Waktu Membaca:
Australia mulakan kerja pembersihan selepas banjir ragut 5 nyawa, musnahkan 10,000 rumah

Kawasan banjir berhampiran Sungai Hunter di Heatherbrae, Australia pada 24 Mei 2025. (Gambar: REUTERS/Hollie Adams)

Diterbitkan : 24 May 2025 03:56PM Dikemas Kini : 24 May 2025 03:57PM
SYDNEY: Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata pada Sabtu (24 Mei) bahawa kerja-kerja pembersihan sudah bermula di bahagian tenggara negara itu selepas banjir mengorbankan lima orang dan menenggelamkan lebih 10,000 hartanah.

"Kami akan terus bekerja rapat dengan pemerintah persekutuan, negeri dan tempatan untuk memastikan rakyat Australia mendapat sokongan yang mereka perlukan sekarang dan melalui kerja-kerja pemulihan," kata Encik Albanese di platform media sosial X.

Penilaian kerosakan sedang dijalankan di wilayah New South Wales minggu ini yang banjir besar memusnahkan bandar, menghanyutkan ternakan dan merosakkan rumah, kata agensi perkhidmatan kecemasan wilayah itu. Dianggarkan sekurang-kurangnya 10,000 hartanah mungkin musnah akibat bencana alam itu.

Keadaan bertambah baik sejak Jumaat (24 Mei) di kawasan-kawasan yang terjejas di wilayah paling ramai penduduk di Australia, kata agensi itu.

Sungguhpun demikian, beratus-ratus penduduk yang dilanda banjir masih berlindung di pusat-pusat pemindahan, kata Pesuruhjaya Perkhidmatan Kecemasan New South Wales, Mike Wassing semasa sidang media di Sydney, dengan 52 operasi menyelamat dijalankan semalam.

Kematian terbaharu berkaitan banjir ialah seorang lelaki berusia 80-an tahun, yang mayatnya ditemui di sebuah rumah dinaiki air kira-kira 50km dari Taree, salah satu bandar yang paling teruk dilanda banjir, kata pihak polis.

Encik Albanese, yang terpaksa membatalkan perjalanan ke Taree pada Jumaat akibat banjir, berkata ia adalah sesuatu yang "mengharukan untuk mendengar berita tentang lebih banyak kehilangan nyawa". Taree terletak dekat Sungai Manning lebih 300km ke utara Sydney.

"Kami mendoakan yang terbaik untuk orang-orang tersayang dan masyarakat pada masa sukar ini," kata Encik Albanese dalam satu kenyataan. Banjir itu, yang dicetuskan oleh hujan yang tidak henti-henti melanda selama beberapa hari, menenggelamkan persimpangan dan papan tanda jalan di bandar-bandar tepi pantai di wilayah itu selepas air yang naik deras memecah tebing sungai. Pada kemuncaknya, banjir menyebabkan sekitar 50,000 orang terkandas.

Australia telah dilanda peristiwa cuaca lebih ekstrem, yang menurut para pakar, disebabkan oleh perubahan iklim. Selepas kemarau dan kebakaran belukar pada penghujung dekad yang lalu, banjir yang kerap telah mencetuskan bencana sejak awal 2021.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita