Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Australia luluskan vaksin Pfizer bagi kanak-kanak 5-11 tahun

Pengawal selia perubatan Australia pada Ahad (5 Dis) memberikan kelulusan bersyarat bagi vaksin koronavirus Pfizer untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun, dengan menteri kesihatannya berkata program suntikan mungkin bermula pada 10 Jan.

Anggaran Waktu Membaca:
Australia luluskan vaksin Pfizer bagi kanak-kanak 5-11 tahun

Gambar: AFP

Diterbitkan : 05 Dec 2021 02:46PM Dikemas Kini : 05 Dec 2021 02:48PM

MELBOURNE: Pengawal selia perubatan Australia pada Ahad (5 Dis) memberikan kelulusan bersyarat bagi vaksin koronavirus Pfizer untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun, dengan menteri kesihatannya berkata program suntikan mungkin bermula pada 10 Jan.

"Mereka (Pentadbiran Barangan Terapeutik) telah membuat penilaian yang teliti, menyeluruh, menentukan bahawa ia adalah selamat dan berkesan dan demi kepentingan kanak-kanak dan warga Australia untuk kanak-kanak 5 hingga 11 tahun divaksinasi," kata menteri kesihatan Greg Hunt.

Selepas program suntikan awam COVID-19 pada awalnya tertangguh, Australia kini menjadi salah satu negara dengan kadar vaksinasi tertinggi di dunia, dengan data kesihatan menunjukkan hampir 88 peratus rakyat Australia yang berusia 16 tahun dan ke atas kini sudah menerima dua dos.

Meskipun vaksinasi di seluruh negara adalah atas dasar sukarela, negeri-negeri dan wilayah telah mewajibkan suntikan bagi banyak pekerjaan, dan sesetengahnya memerlukan status vaksinasi lengkap untuk mengakses kebanyakan perkhidmatan hospitaliti dan runcit yang tidak penting.

Penyokong anti-vaksin berjumlah satu angka di Australia, menurut tinjauan pendapat, walaupun mereka secara tetap mengadakan perhimpunan setiap minggu membantah langkah penjagaan kesihatan di Melbourne dan bandar-bandar lain.

Perlindungan imunisasi bagi kanak-kanak Australia juga merupakan antara yang tertinggi di dunia, dengan 95 peratus kanak-kanak berusia 5 tahun disuntik vaksin yang disyorkan untuk usia mereka, menurut data kesihatan.

Vaksin Pfizer untuk kanak-kanak tersebut masih memerlukan kelulusan Kumpulan Penasihat Teknikal Australia mengenai Imunisasi. Setelah diluluskan, ia akan ditawarkan kepada sekitar 2.3 juta kanak-kanak dalam golongan usia 5 hingga 11 tahun.

Meski menghadapi gelombang penularan berkali-kali tahun ini, yang membawa kepada langkah kurungan selama berbulan-bulan lamanya di Sydney dan Melbourne - bandar terbesar di Australia - negara itu hanya mempunyai sekitar 834 kes disahkan COVID-19 dan 7.9 kematian bagi setiap 100,000 orang, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Jumlah ini sangat kecil berbanding perangkaan yang dicatatkan banyak negara maju yang lain.

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Australia kurang 215,000, dengan 2,042 kematian.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan