Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Australia lancar semakan dasar susuli laporan bekas juruterbang melatih tentera China

Anggaran Waktu Membaca:
Australia lancar semakan dasar susuli laporan bekas juruterbang melatih tentera China

Menteri Pertahanan Australia, Richard Marles. (Gambar: AP)

SYDNEY: Australia akan melancarkan semakan ke atas kewajipan bekas anggota Angkatan Pertahanan untuk melindungi rahsia negara.

Ini berikutan laporan bahawa warga Australia adalah antara juruterbang tentera Barat yang didekati untuk melatih tentera China.

Menteri Pertahanan Australia Richard Marles berkata pada Rabu (9 Nov) bahawa agensi perisikan dan Polis Persekutuan Australia sedang "menyiasat beberapa kes" di Australia.

Beliau turut mengumumkan satu semakan ke atas dasar dan prosedur yang mentadbir kakitangan Angkatan Pertahanan Australia.

"Bagi mereka yang memegang rahsia negara kami, sama ada melalui perkhidmatan dalam Angkatan Pertahanan Australia atau perkhidmatan di mana-mana bahagian lain Komanwel, terdapat kewajipan berterusan untuk mengekalkan rahsia itu," kata beliau di sebuah sidang media.

"Ia sangat penting bahawa kami mempunyai rangka kerja paling kukuh yang dilaksanakan untuk melindungi maklumat Australia dan melindungi rahsia kami."

Britain menyatakan ia akan meminda undang-undang keselamatan negara itu untuk menghentikan bekas juruterbang tentera negara daripada direkrut oleh agensi-agensi pihak ketiga untuk bertugas di China.

Ini selepas timbul laporan yang menyatakan sehingga 30 juruterbang daripada negara itu sudahpun melatih tentera China.

Menteri Pertahanan New Zealand (NZ) juga meminta nasihat daripada Angkatan Pertahanan NZ sama ada negara itu perlu melaksanakan undang-undang untuk menghentikan bekas juruterbang tentera NZ daripada melakukan perjalanan ke luar negara untuk melatih juruterbang tentera luar, kata seorang jurucakap dari Pejabat Perdana Menteri NZ.

Seorang warga Australia, Daniel Edmund Duggan, diberkas di New South Wales pada minggu yang sama ketika Britain mengumumkan tindakan keras terhadap bekas juruterbang tentera.

Duggan, bekas juruterbang Marines Corp Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan dihantar pulang ke AS atas tuduhan yang tidak didedahkan.

Reuters melaporkan bahawa Duggan bekerja di Beijing sejak 2014 dan memberikan alamat di Beijing yang sama dengan seorang ahli perniagaan China, yang dipenjarakan di AS kerana bersubahat untuk menggodam komputer para kontraktor pertahanan AS.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan