Australia lancar dana AS$280 juta; ganti rugi bagi orang asli dari 'generasi diculik'
Australia akan menubuhkan dana pemulihan bernilai AUS$380 juta untuk para anggota masyarakat penduduk asli yang dipisahkan secara paksa daripada keluarga, lapor media Australia pada Khamis (5 Ogos), selang beberapa bulan setelah 800 orang asli memfailkan tuntutan mahkamah secara beramai-ramai.
Anggota masyarakat orang asli Ramingining Australia dilihat dekat dengan rumah mereka di East Arnhem Land, utara Darwin, Australia pada 24 Nov 2014. (Gambar fail: REUTERS/David Gray)
SYDNEY: Australia akan menubuhkan dana pemulihan bernilai AUS$380 juta (AS$280 juta atau S$380.03 juta) untuk para anggota masyarakat penduduk asli yang dipisahkan secara paksa daripada keluarga mereka, lapor media Australia pada Khamis (5 Ogos), selang beberapa bulan setelah 800 orang asli memfailkan tuntutan mahkamah secara beramai-ramai.
Di bawah skim itu, mangsa yang layak akan menerima pampasan sekali saja bernilai AUS$75,000 (S$75,005) sebagai pembayaran ganti rugi yang disebabkan oleh pemindahan mereka secara paksa dan lagi AUS$7,000 (S$7,000) untuk menyokong penyembuhan mereka, lapor akhbar Sydney Morning Herald.
Program itu akan diumumkan pada Khamis oleh Perdana Menteri Scott Morrison dan Menteri Orang Asli Australia Ken Wyatt sebagai sebahagian daripada suntikan dana AUS$1 bilion kepada langkah-langkah untuk merapatkan jurang antara Orang Asli dan rakyat bukan Orang Asli Australia, menurut laporan itu.
Pampasan itu akan merangkumi penduduk orang asli yang berusia bawah 18 tahun dan dipisahkan daripada keluarga mereka ketika tinggal di Capital Territory and Northern Territory sebelum pemberian pemerintahan sendiri serta daerah Jervis Bay dekat New South Wales.
Lebih 100,000 kanak-kanak Orang Asli dipisahkan daripada keluarga dan masyarakat mereka dan pada 2008 Perdana Menteri ketika itu, Kevin Rudd memohon maaf secara terbuka di Parlimen kepada para anggota masyarakat orang asli yang disifatkan sebagai "generasi diculik".
Pada April, 800 mangsa dari Northern Territory melancarkan tuntutan mahkamah secara beramai-ramai terhadap pemerintah persekutuan di Mahkamah Agung New South Wales bagi menuntut pampasan, yang merangkumi tempoh antara 1910 hingga 1970-an.
Pejabat Perdana Menteri dan Pejabat Menteri Orang Asli Australia tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas tentang dana tersebut.
Orang Asli Australia yang dianggarkan sekitar 700,000 orang adalah antara yang paling mundur dari segi ekonomi dan kedudukan sosial dalam kalangan hampir 26 juta rakyat negara itu.
Menurut perangkaan pemerintah, jangka hayat orang asli Australia adalah lapan tahun lebih singkat berbanding orang bukan asli dan jumlah orang asli yang ditahan di penjara adalah jauh lebih tinggi berbanding penduduk yang bukan orang asli.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.