Australia kuat kuasa larangan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak
Australia mula menguatkuasakan larangan penggunaan media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun, yang disifatkan sebagai yang pertama seumpamanya di dunia. (Gambar: REUTERS)
Langkah itu menandakan perubahan besar dalam tadbir urus digital global, sekali gus menetapkan penanda aras baharu mengenai bagaimana pemerintah di seluruh dunia boleh bertindak bagi melindungi pengguna muda dalam talian.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese menyifatkan langkah itu sebagai penting untuk memastikan "kanak-kanak mempunyai zaman kanak-kanak mereka", dengan undang-undang persekutuan kini mewajibkan platform media sosial mengambil langkah munasabah untuk menyekat akaun bawah umur.
Undang-undang baharu itu, dikenali sebagai Akta Pindaan Keselamatan Dalam Talian (Umur Minimum Media Sosial) 2024, diluluskan oleh Parlimen Australia pada November tahun lalu.
Platform yang tertakluk kepada larangan itu termasuk TikTok, Facebook, Instagram, Snapchat, X (dahulunya Twitter), Reddit dan YouTube.
Di bawah undang-undang itu, tanggungjawab pematuhan terletak sepenuhnya pada syarikat teknologi dan bukan ibu bapa atau pengguna muda.
Syarikat yang gagal menguatkuasakan had umur boleh dikenakan penalti sistematik, termasuk denda sehingga AU$49.5 juta (S$42.6 juta).
Tiada penalti dikenakan terhadap kanak-kanak yang cuba mengelak sekatan atau terhadap ibu bapa mereka.
Walaupun larangan itu meliputi media-media sosial arus perdana, beberapa pengecualian diperkenalkan bagi memastikan pengguna muda kekal mendapat akses kepada perkhidmatan penting menerusi online.
Aplikasi pesanan seperti WhatsApp dan Messenger Kids, alat pendidikan seperti Google Classroom dan YouTube Kids, serta platform permainan dalam talian dan perkhidmatan sokongan kesihatan mental, masih boleh diakses.
Pemerintah Australia berkata langkah itu bertujuan mengurangkan kesan buruk media sosial terhadap kesihatan mental dan perkembangan kanak-kanak dan remaja.
Langkah itu menarik perhatian global, dengan negara-negara lain memantau pelaksanaannya serta kesan terhadap keselamatan digital.
Syarikat teknologi utama memulakan usaha pematuhan.
Beberapa laporan media menyatakan Meta mula menyahaktifkan akaun pengguna bawah 16 tahun di Instagram dan Facebook sejak awal minggu ini.
Platform-platform berkenaan dijangka menggunakan teknologi penentuan umur, termasuk kecerdasan buatan dan alat anggaran umur melalui wajah, untuk mengesahkan pengguna dan menyekat mereka yang di bawah umur minimum.
Pengguna bawah 16 tahun yang cuba mengakses platform berkenaan kini akan menerima notifikasi bahawa akaun mereka disekat atau dinyahaktifkan.
Pendekatan Putrajaya di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian mencerminkan peralihan ke arah pengecaman identiti digital wajib bagi mengurangkan akses bawah umur.
Malaysia kini sedang membangunkan persediaan asas bagi larangan serupa, dan dalam beberapa aspek lebih ketat, yang dijangka berkuat kuasa pada 2026.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil baru-baru ini berkata kementerian sedang bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said untuk melaksanakan Akta berkenaan.
Beliau berkata akta itu membenarkan denda sehingga RM10 juta (S$3.1 juta), namun kementerian masih meneliti mekanisme penguatkuasaan yang sesuai, dengan merujuk contoh dari negara lain termasuk Australia.
Di bawah cadangan Malaysia, platform media akan diwajibkan menyekat pembukaan akaun bagi pengguna bawah 16 tahun kecuali mereka dapat mengesahkan umur melalui pengenalan diri yang dikeluarkan kerajaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.