Skip to main content

Dunia

Australia gantung hubungan pertahanan dengan Myanmar, salurkan bantuan kepada tujuan lain

Australia sudah menggantung program kerjasama pertahanan dengan Myanmar, umum Menteri Luar negara itu, Marise Payne di tengah-tengah kekerasan tentera terhadap para tunjuk perasaan yang mengadakan bantahan besar-besaran bagi membantah rampasan kuasa yang berlaku bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Australia gantung hubungan pertahanan dengan Myanmar, salurkan bantuan kepada tujuan lain

Anggota tentera Myanmar leraikan tunjuk perasaan pada 7 Mac 2021 di Yangon (Gambar: AP)

Diterbitkan : 08 Mar 2021 09:48AM Dikemas Kini : 08 Mar 2021 09:55AM

SYDNEY: Australia sudah menggantung program kerjasama pertahanan dengan Myanmar, umum Menteri Luar negara itu, Marise Payne di tengah-tengah kekerasan tentera terhadap para tunjuk perasaan yang mengadakan bantahan besar-besaran bagi membantah rampasan kuasa yang berlaku bulan lalu.

Australia juga akan menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada kaum Rohingya dan kumpulan etnik minoriti yang lain, kata Cik Payne dalam kenyataannya pada Ahad (7 Mac).

"Kami akan mengutamakan keperluan kemanusiaan dan keperluan yang mendesak dan akan berusaha untuk memastikan pelibatan kemanusiaan kami adalah dengan dan melalui pertubuhan bukan pemerintah, bukan dengan pemerintah mahupun entiti yang berkaitan dengan pemerintah," jelas Cik Payne.

Hubungan pertahanan dua hala Australia dengan tentera Myanmar dihadkan kepada bidang bukan pertempuran seperti latihan bahasa Inggeris.

Canberra juga akan terus menuntut pembebasan Sean Turnell, seorang pakar ekonomi dan penasihat kepada pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, menurut pihak berkuasa Australia. Encik Turnell ditahan dengan akses konsulat terbatas sejak berlaku rampasan kuasa pada 1 Februari yang menggulingkan pemerintah awam Myanmar.


Beratus-ratus orang berkumpul di bandar terbesar Australia, Sydney, pada hujung minggu lalu bagi mendesak pemerintah Australia supaya mengambil pendirian tegas terhadap rampasan kuasa itu.

Myanmar menjadi huru-hara setelah tentera mengambil alih tampuk kepimpinan negara itu dan menahan para pemimpin awam yang dipilih secara demokratik, dengan tunjuk perasaan terhadap pihak tentera sudah mengorbankan lebih 50 orang sejauh ini, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kami akan terus menggesa pasukan keselamatan Myanmar supaya terus menahan diri dan mengelakkan keganasan terhadap orang awam," gesa Cik Payne.

Kesatuan-kesatuan sekerja utama di Myanmar menyeru para anggotanya supaya menutup ekonomi negara itu mulai Isnin, sedang negara tersebut menyaksikan salah satu tunjuk perasaan terbesar pada Ahad.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita