Australia bakal bangkitkan isu tarif baharu dengan Trump
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese menghadiri sidang media bersama Perdana Menteri India Narendra Modi di Melbourne pada 9 Julai 2026. (Gambar: Reuters/Hollie Adams)
- Pentadbiran Amerika Syarikat mengenakan tarif baharu ke atas barangan import dari 60 negara, termasuk Australia, bermula 24 Julai, dengan alasan isu buruh paksa.
- Australia menyifatkan tindakan itu tidak berasas dan mahu tarif tersebut ditarik balik.
- Perdana Menteri Anthony Albanese menegaskan beliau akan membangkitkan isu ini dengan Presiden Donald Trump dan dalam semua peringkat hubungan dua hala.
- Australia menekankan komitmen terhadap perdagangan bebas serta undang-undang ketat menangani perhambaan moden di rantaian bekalan.
Kenyataan itu dibuat selepas Washington minggu ini mengenakan tarif baharu ke atas barangan import dari beberapa rakan dagangnya, termasuk Australia.
Amerika pada Jumaat (24 Jul) mengenakan tarif baharu ke atas barangan daripada 60 rakan dagang dengan alasan negara-negara terbabit gagal membendung perdagangan barangan yang dihasilkan menerusi buruh paksa.
Pemerintah Australia menyifatkan tindakan itu tidak berasas dan mahu tarif berkenaan ditarik balik.
Ketika ditanya sama ada beliau akan membincangkan perkara itu dengan Presiden Trump, Encik Albanese menjawab, "Sudah tentu."
Menurut beliau, isu itu akan terus dibangkitkan di setiap peringkat hubungan dua hala antara Australia dengan Amerika.
Encik Albanese berkata Australia mempunyai undang-undang yang ketat bagi menangani perhambaan moden dan sedang memperkukuh penguatkuasaannya, termasuk di sepanjang rantaian bekalan.
Di bawah langkah baharu pentadbiran Encik Trump, import dari Australia dan 37 negara lain dikenakan tarif sebanyak 12.5 peratus.
Sebanyak 17 negara dikenakan tarif 10 peratus, manakala lima lagi dikenakan kadar tarif yang berbeza.
Encik Albanese sebelum ini menegaskan pemerintahnya komited terhadap perdagangan yang bebas dan adil dengan Amerika.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.