Skip to main content

Dunia

Australia akan iktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung PBB

Australia akan mengiktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan depan, kata Perdana Menteri Anthony Albanese pada Isnin (11 Ogos), dalam langkah yang akan menambah tekanan antarabangsa terhadap Israel selepas pengumuman serupa dibuat oleh Perancis, Britain dan Kanada.

Anggaran Waktu Membaca:
Australia akan iktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung PBB

Menteri Luar Australia Penny Wong (kiri) mendengarkan ucapan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese semasa sidang media di Canberra pada 11 Ogos 2025. (Gambar: AFP/Hilary Wardhaugh)

SYDNEY: Australia akan mengiktiraf negara Palestin di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan depan, kata Perdana Menteri Anthony Albanese pada Isnin (11 Ogos), dalam langkah yang akan menambah tekanan antarabangsa terhadap Israel selepas pengumuman serupa dibuat oleh Perancis, Britain dan Kanada.

"Australia akan mengiktiraf negara Palestin di sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB pada September, untuk menyumbang kepada momentum antarabangsa ke arah huraian dua negara, gencatan senjata di Gaza dan pelepasan semua tebusan," kata Encik Albanese dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kepada wartawan di Canberra bahawa pengiktirafan itu berdasarkan komitmen yang Australia terima dari Penguasa Palestin, termasuk bahawa Hamas tidak akan mempunyai sebarang pelibatan dalam apa-apa bentuk sekalipun.

"Sebuah huraian dua negara adalah harapan terbaik kemanusiaan untuk memutuskan lingkaran keganasan di Timur Tengah dan menamatkan konflik, penderitaan dan kebuluran di Gaza," kata Encik Albanese di satu sidang media.

Encik Albanese menambah beliau bercakap dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Khamis lalu dan memberitahunya huraian politik lebih wajar dan bukannya huraian tentera.

Pada minggu lalu, Australia mengecam pelan Israel untuk menakluk Gaza dan Encik Albanese berkata keputusan untuk mengiktiraf sebuah negara Palestin "semakin didorong" oleh tindakan Encik Netanyahu yang mengabaikan seruan masyarakat antarabangsa dan kegagalan untuk mematui kewajipan etika dan undang-undang di Gaza.

"Pemerintah ditadbir Netanyahu melenyapkan prospek huraian dua negara dengan meluaskan kawasan penempatan haram dengan pantas, mengancam untuk mengilhak Wilayah Palestin yang diduduki dan secara terang-terangan membantah sebarang penubuhan negara Palestin," kata Encik Albanese dalam kenyataan bersama Menteri Luar Penny Wong.

Komitmen oleh Penguasa Palestin untuk memperbaharui tadbir urus, menghapuskan tentera dan mengadakan pilihan raya umum serta tuntutan dari Liga Arab supaya Hamas menamatkan pemerintahannya di Gaza, mencipta peluang, katanya.

"Ia adalah peluang untuk mengasingkan Hamas," katanya.

Cik Wong menambah beliau sudah memaklumkan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat Marco Rubio mengenai keputusan Australia.
Sumber : Reuters/HA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita