Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Aung San Suu Kyi dipenjara 4 tahun lagi

Hukuman itu dijatuhkan oleh mahkamah junta tentera di ibu negara Naypyitaw. Ia atas tuduhan memiliki walkie-talkie yang “diimport secara haram” dan melanggar sekatan kesihatan awam COVID-19, lapor Agensi Anadolu, memetik sebuah laman web berita tempatan, Myanmar Now.

Anggaran Waktu Membaca:
Aung San Suu Kyi dipenjara 4 tahun lagi

Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi yang digulingkan oleh junta tentera. (Gambar fail: Ye Aung Thu/AFP)

ISTANBUL: Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, hari ini (10 Jan) dijatuhi hukuman penjara empat tahun lagi.

Hukuman itu dijatuhkan oleh mahkamah junta tentera di ibu negara Naypyitaw. Ia atas tuduhan memiliki walkie-talkie yang “diimport secara haram” dan melanggar sekatan kesihatan awam COVID-19, lapor Agensi Anadolu, memetik sebuah laman web berita tempatan, Myanmar Now.

Ini adalah hukuman kedua yang dikenakan mahkamah junta sejak pemerintah Liga Demokratik Kebangsaan (NLD) pimpinan Cik Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa tentera tahun lalu.

Pemenang Hadiah Nobel itu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun kerana melanggar Undang-undang Eksport-Import, satu tahun kerana melanggar Undang-undang Komunikasi dan satu tahun lagi kerana "melanggar sekatan kesihatan awam COVID-19 semasa tempoh kempen pilihan raya 2020."

Beliau akan menjalani hukuman penjara secara serentak, menurut laporan itu.

Pada Disember lalu, Cik Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara empat tahun kerana melanggar sekatan kesihatan berkaitan pandemik. Hukumannya itu kemudian dikurangkan kepada dua tahun.

Terdapat tujuh lagi kes pertuduhan terhadap pemimpin yang digulingkan itu.

Tentera Myanmar, yang dikenali sebagai Tatmadaw, melancarkan rampasan kuasa tentera pada Februari tahun lalu dan menahan pemimpin utama parti pemerintah.

Menurut Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik yang berpangkalan di Myanmar, kira-kira 1,447 orang terbunuh dan hampir 8,500 penunjuk perasaan ditangkap dalam tindakan keras tentera terhadap bantahan besar-besaran serta pemberontakan menentang pemerintahan mereka.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan