Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Aung San Suu Kyi dikenakan hukuman penjara tambahan 7 tahun

Anggaran Waktu Membaca:
Aung San Suu Kyi dikenakan hukuman penjara tambahan 7 tahun

Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi yang digulingkan oleh junta tentera. (Gambar fail: Ye Aung Thu/AFP)

ISTANBUL: Pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi, bakal menjalani hukuman penjara selama tujuh tahun lagi. Ini menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjaranya kepada 33 tahun.

Ini merupakan sabitan ke-15 buat Cik Suu Kyi berhubung kes rasuah sejak tentera menggulingkan pemerintahnya pada Februari 2021.

Hukuman penjara terbaru itu diumumkan oleh Majlis Tentera pada Jumaat (30 Dis), lapor Agensi Anadolu memetik Khit Thit Media.

Pada Oktober, bekas kaunselor negara itu menjalani dua lagi hukuman penjara tiga tahun kerana "rasuah".

Cik Suu Kyi berdepan pelbagai pertuduhan termasuk dakwaan penipuan pilihan raya, melanggar peraturan keselamatan awam COVID-19, mengimport walkie-talkie dan melanggar akta rahsia rasmi.

Pada Jun lalu, rejim tentera memindahkannya ke penjara dan menempatkan wanita itu dalam kurungan bersendirian.

Selepas rampasan kuasa tentera pada 24 Februari 2021, Cik Suu Kyi diletakkan di bawah perintah tahanan rumah sehingga April 2022 sebelum dipindahkan ke sebuah tempat yang tidak diketahui, dipercayai Penjara Naypyitaw.

Wanita itu dipenjarakan buat kali kedua pada 2009. Rejim junta ketika itu memindahkannya ke Penjara Insein Yangon selama empat bulan pada awal tahun berkenaan kerana "melanggar peraturan tahanan di rumah". 

Pemerintah Cik Suu Kyi digulingkan selepas partinya Liga Kebangsaan untuk Demokrasi memenangi pilihan raya pada November 2020.

Rampasan kuasa itu disusuli dengan pergolakan, manakala orang ramai mengecam penyingkirannya dan pemerintahan tentera.

Junta mengenakan tindakan ganas ke atas mereka yang melakukan tunjuk perasaan, walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa negara itu menuju kepada perang saudara.

Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan sekurang-kurangnya 2,316 orang, termasuk 188 kanak-kanak, terbunuh di Myanmar sejak rampasan kuasa.

Sumber : Agensi berita/Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan