Aung San Suu Kyi didakwa atas satu tuduhan rasuah baru
Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi yang digulingkan oleh junta tentera. (Gambar fail: Ye Aung Thu/AFP)
YANGON: Junta Myanmar mengumumkan satu tuduhan rasuah baru terhadap bekas pemimpin yang digulingkannya, Aung San Suu Kyi pada Khamis (3 Feb), menurut stesen penyiar negara itu.
Pemenang Hadiah Nobel, berusia 76 tahun itu, dibicarakan dalam hampir 12 kes yang membawa gabungan hukuman maksimum sekurang-kurangnya 150 tahun penjara. Dia sudah pun dijatuhi hukuman penjara enam tahun bagi kes lain.
Seorang jurucakap junta Myanmar dan peguam bela Aung San Suu Kyi, bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk memberikan komentar.
Pada 6 Disember lalu, Aung San Suu Kyi dijatuhi hukuman dua tahun penjara atas kesalahan hasutan terhadap tentera dan lagi dua tahun kerana melanggar undang-undang COVID-19.
Ketua Junta Min Aung Hlaing kemudian mengusulkan hukuman "dua tahun penjara", menurut satu kenyataan yang dibacakan di televisyen Myanmar.
Pada 10 Januari, dia didapati bersalah atas dua tuduhan berkaitan mengimport dan memiliki walkie-talkie secara haram dan satu kesalahan melanggar peraturan koronavirus.
Tuduhan berkaitan walkie talkie itu berpunca apabila tentera menyerbu kediamannya pada hari rampasan kuasa berlaku dan menemui peralatan haram tersebut. Dia dijatuhi hukuman empat tahun penjara atas tuduhan tersebut.
Aung San Suu Kyi berdepan pelbagai pertuduhan rasuah dan melanggar akta rahsia rasmi. Dia boleh dihukum penjara selama 15 tahun atas setiap satu tuduhan.
Sejak rampasan kuasa itu, ramai daripada sekutu politiknya sudah ditangkap. Seorang ahli parti demoratik kebangsaan dijatuhi hukuman mati atas kesalahan keganasan, seorang lagi ketua menteri dijatuhi hukuman penjara 75 tahun dan ramai lagi masih bersembunyi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.