Aung San Suu Kyi bertemu wakil Palang Merah ketika kebimbangan mengenai keadaan kesihatannya
Mantan pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi berjabat tangan dengan Wakil Tetap dan Ketua Delegasi Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Myanmar, Arnaud de Baecque, di Naypyitaw pada 3 Ogos 2026, menurut pemerintah Myanmar. (Gambar: Khine Khine Soe/Jurucakap pemerintah Myanmar/Edaran menerusi Reuters)
Menurut jurucakap pemerintah Myanmar Khine Khine Soe menerusi Telegram, pertemuan itu diadakan di ibu negara Naypyitaw.
Pemenang Hadiah Nobel Keamanan berusia 81 tahun itu berada dalam tahanan sejak Februari 2021 selepas pemerintah awam pimpinannya digulingkan tentera Myanmar menerusi rampasan kuasa.
Sejak itu, lokasi sebenar dan keadaan kesihatan Aung San Suu Kyi sukar dipastikan, dengan tiada pemimpin asing atau utusan dilaporkan bertemu beliau secara terbuka.
ICRC belum memberikan respons kepada permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.
GAMBAR TERBAHARU AUNG SAN SUU KYI
Empat gambar Aung San Suu Kyi turut diberikan oleh jurucakap pemerintah Myanmar.
Dalam dua gambar, Aung San Suu Kyi yang mengenakan pakaian tradisional Myanmar dilihat bertemu Encik de Baecque di sebuah bilik berdinding kayu yang hanya dilengkapi dua kerusi dan sebuah meja.
Satu lagi gambar menunjukkan Cik Suu Kyi memotong kek hari jadi yang tertera namanya, sekali gus memberikan gambaran jarang dilihat mengenai ruang yang dipercayai kediamannya.
Sebuah rak pakaian dan beberapa kotak simpanan turut kelihatan di ruang tersebut.
Gambar keempat pula menunjukkan kek yang tertera ucapan "Happy Birthday Aunty Suu 29.6.2026".
Reuters tidak dapat mengesahkan secara bebas lokasi dan tarikh gambar-gambar tersebut dirakam. Tiada versi terdahulu gambar-gambar itu ditemui dimuat naik dalam talian sebelum Isnin.
DIPINDAHKAN KE KEDIAMAN DITETAPKAN
Cik Suu Kyi sedang menjalani hukuman penjara 27 tahun selepas disabitkan atas pelbagai kesalahan berdasarkan tuduhan yang menurut sekutunya bermotifkan politik.
Pada lewat April, selepas pilihan raya yang diatur pihak tentera membolehkan Min Aung Hlaing menjadi pemimpin Myanmar, pihak berkuasa mengumumkan bahawa Cik Suu Kyi dipindahkan dari penjara ke sebuah kediaman yang ditetapkan.
Tempoh hukumannya turut dikurangkan sebanyak satu perenam sebagai sebahagian daripada pengampunan melibatkan ribuan banduan.
Pengampunan itu turut menyaksikan sekutunya, mantan Presiden Win Myint, dibebaskan.
Namun, pentadbiran baharu yang disokong tentera setakat ini keberatan memberikan akses kepada Cik Suu Kyi.
Ini termasuk permintaan Filipina pada Mei supaya seorang utusan khas ASEAN dibenarkan bertemu beliau.
Tentera Myanmar pada Disember lalu menyatakan Aung San Suu Kyi berada dalam keadaan sihat.
Namun, anak lelakinya sebelum ini memberitahu Reuters bahawa beliau hanya menerima sedikit maklumat mengenai keadaan ibunya dan tidak berhubung dengannya selama bertahun-tahun, sehingga bimbang ibunya mungkin meninggal dunia tanpa pengetahuannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.