Aung San Suu Kyi bela Myanmar di Mahkamah Keadilan Antarabangsa
Buat pertama kalinya Myanmar akan dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung krisis wilayah Rakhine.

Cik Aung San Suu Kyi. (Gambar: AFP/Manan Vatsyayana)
THE HAGUE: Buat pertama kalinya Myanmar akan dibicarakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung krisis wilayah Rakhine.
Perbicaraan itu bermula hari ini (10 Dis) di The Hague, Belanda.
Pemimpin Myanmar yang juga pemenang Nobel Perdamaian, Aung San Suu Kyi akan membela negaranya di mahkamah itu.
Myanmar dikenakan tuduhan melakukan pembunuhan beramai-ramai Muslim Rohingya di wilayah Rakhine.
Pasukan penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyifatkannya sebagai jenayah terhadap kemanusiaan.
Kes terhadap Myanmar itu difailkan oleh Gambia, sebuah negara kecil di Afrika yang kebanyakan penduduknya orang Islam.
Gambia memfailkan kes itu bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Islam yang mempunyai 57 anggota.
Cik Suu Kyi yang membela negaranya atas kepentingan nasional akan dibantu oleh sepasukan peguam antarabangsa.
Parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi menyatakan Cik Suu Kyi melakukan sendiri pembelaan itu kerana beliau dituduh tidak bersuara tentang pencabulan hak-hak asasi manusia yang berlaku di negaranya.
Krisis Rohingya di wilayah Rakhine bermula dua tahun lalu.
Lebih 700,000 orang Rohingya kini menjadi pelarian di Bangladesh kerana menyelamatkan diri daripada tindakan kekejaman tentera Myanmar.
Pihak tentera sebaliknya menyatakan ia melancarkan operasi di Myanmar berikutan serangan pihak pemberontak di Rakhine.
Bagaimanapun tentera Myanmar dituduh melakukan tindakan penghapusan kaum secara sistematik.
Gambia mahu mereka yang melakukan jenayah itu dihukum dan mangsa-mangsanya diberi pampasan.
Keputusan ICJ perlu dipatuhi tetapi mahkamah itu kurang kuasa untuk melaksanakannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.