Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Aung San Suu Kyi akur isu Rakhine boleh dikendalikan lebih baik

Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi pada Khamis (13 Sep) akur bahawa krisis di wilayah Rakhine sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Sep 2018 05:58PM Dikemas Kini : 13 Sep 2018 09:07PM

HANOI: Pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi pada Khamis (13 Sep) akur bahawa krisis di wilayah Rakhine sepatutnya dikendalikan dengan lebih baik.

Sekitar 700,000 kaum Muslim Rohingya melarikan diri dari Rakhine selepas operasi besar-besaran tentera pemerintah sebagai tindak balas terhadap serangan oleh Askar Penyelamat Rohingya Arakan pada Ogos 2017.

"Jika direnungkan semula, tentunya ada cara lebih baik untuk menangani isu itu," kata Cik Suu Kyi semasa Forum Ekonomi Sedunia ASEAN di Hanoi.

"Namun kami yakin bahawa demi mencapai kestabilan dan keselamatan jangka panjang, kita perlu bersikap adil terhadap semua pihak. Kita tidak boleh memilih siapa yang dilindungi undang-undang," katanya.

Cik Suu Kyi juga menyentuh tentang dua wartawan Reuters yang dipenjara kerana menyiasat satu kes pembunuhan beramai-ramai di wilayah Rakhine.

Beliau menegaskan bahawa kedua-duanya didakwa bukan kerana mereka wartawan, tetapi kerana melanggar undang-undang.

Wa Lone dan Kyaw Soe Oo dihukum penjara oleh mahkamah Myanmar (Gambar: Reuters)

Wa Lone, 32 tahun, dan Kyaw Soe Oo, 28 tahun, masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun minggu lalu atas kesalahan melanggar Akta Rahsia Rasmi negara itu semasa membuat liputan ke atas kesalahan yang dilakukan semasa tindakan ganas tentera di Rakhine.

Hukuman tersebut dikutuk masyarakat dunia yang menyifatkannya sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara. Cik Suu Kyi yang sebelum ini dikenali sebagai seorang pejuang hak asasi manusia menghadapi tekanan kerana tidak bersuara untuk melindungi kedua-dua wartawan terlibat.

Beliau akhirnya membuka mulut berhubung isu itu pada Khamis semasa satu perbincangan di Forum Ekonomi Sedunia dan secara tegas menegakkan keputusan mahkamah untuk memenjarakan kedua-dua wartawan itu.

"Mereka tidak dipenjara kerana mereka wartawan" namun sebaliknya "mahkamah memutuskan bahawa mereka melanggar Akta Rahsia Rasmi," kata Cik Suu Kyi dalam ulasan pertamanya berhubung isu tersebut.

Beliau mencabar para pengkritik - yang termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pejuang hak asasi dan Naib Presiden Amerika Syarikat - supaya membuktikan adanya kesilapan mahkamah, seraya menegaskan bahawa kes itu menjunjung kedaulatan undang-undang.

"Kes itu didengarkan di mahkamah terbuka ... Saya tidak rasa ada sesiapa pun yang meluangkan masa untuk membaca keputusan hakim," tambahnya.

Kedua-dua wartawan Reuters berkenaan tidak mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan. Mereka menegaskan diperangkap semasa mendedahkan pembunuhan kejam 10 warga Muslim Rohingya di kampung Inn Din pada September tahun lalu.

Awal minggu ini, jabatan hak asasi PBB menuduh Myanmar "melancarkan kempen menentang wartawan".

Ia mengutuk langkah pemerintah Myanmar "memperalatkan undang-undang dan mahkamah dalam percubaan kempen politik terhadap kebebasan kewartawanan". 


LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan