Skip to main content

Dunia

Audit 1MDB tidak dibenar siasat akaun peribadi Najib

Anggaran Waktu Membaca:
Audit 1MDB tidak dibenar siasat akaun peribadi Najib

Tony Pua Kiam Wee. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 10:28PM
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa laporan interim Ketua Audit Negara menyatakan, skop audit terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya terhad kepada syarikat itu tanpa dibenarkan menjalankan siasatan atau membuat pertanyaan berhubung akaun bank peribadi mantan Perdana Menteri Najib Tun Razak.

Mantan anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Tony Pua, 54 tahun, berkata, beliau mengetahui kandungan laporan itu kerana sudah membacanya ketika berkhidmat sebagai anggota PAC pada tempoh berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari keempat perbicaraan saman sivil 1MDB berjumlah AS$5.64 bilion (S$723 bilion) terhadap Najib dan enam individu lain di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus.

Encik Pua, saksi kedua pihak plaintif, berkata Ketua Audit Negara terpaksa menjalankan audit dengan hanya menyemak penyata kewangan teraudit 1MDB serta dokumen sokongan dikemukakan oleh juruaudit berkaitan menyusuli kekurangan kerjasama yang ketara daripada syarikat berkenaan.

"1MDB gagal mengemukakan banyak dokumen penting, termasuk tetapi tidak terhad kepada perjanjian pelaburan dan penyata bank anak syarikatnya di luar negara. Skop audit Ketua Audit Negara juga dihadkan secara ketat kepada 1MDB dan tiada siasatan atau pertanyaan dibenarkan berhubung akaun bank peribadi Najib," katanya.

Encik Pua berkata menyusuli laporan interim Ketua Audit Negara itu, Menteri Kewangan Kedua ketika itu, Encik Ahmad Husni Hanadzlah menggesa pengkritik 1MDB supaya menghentikan dakwaan tidak berasas kerana menurut beliau, laporan dalaman Ketua Audit Negara berhubung audit terhadap 1MDB tidak menemukan "sebarang bukti salah laku."

Sebelum itu, mahkamah membenarkan permohonan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah, untuk membuang beberapa perenggan dalam pernyataan saksi Encik Pua atas alasan ia mengandungi pandangan peribadi dan keterangan dengar cakap (hearsay).

Bahagian yang dibuang itu sebahagian besarnya merujuk kepada laporan media mengenai skandal 1MDB ketika pentadbiran Najib, termasuk beberapa artikel yang diterbitkan oleh Sarawak Report.

Pada 26 Disember 2025, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion (S$3.57 bilion)terhadap Najib, 73 tahun, selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

1MDB dan anak-anak syarikatnya - 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited serta Global Diversified Investment Company Limited, yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited, memfailkan saman sivil itu pada 7 Mei 2021.

Kesemua pihak menamakan Najib; mantan Pengarah Kewangan 1MDB Terrence Geh Choh Heng; mantan Pengarah Eksekutif Casey Tang Keng Chee; mantan Ketua Pegawai Pelaburan Vincent Beng Huat Koh; mantan Ketua Pegawai Operasi Radhi Mohamad; mantan Pengarah Pelaburan Kelvin Tan Kay Jim; serta mantan Ketua Pegawai Pelaburan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai defendan.

Writ saman itu menyatakan bahawa plaintif, antara lain mendakwa semua defendan melakukan pecah amanah, melanggar kewajipan statutori, menyalahgunakan kuasa dan berpakat untuk menyelewengkan dana 1MDB.

Perbicaraan bersambung pada Isnin (10 Ogos).
Sumber : Bernama/LL/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita