Skip to main content

Dunia

Atlet muda, bekas juara dunia luncur ais antara mangsa nahas udara Washington

Anggaran Waktu Membaca:
Atlet muda, bekas juara dunia luncur ais antara mangsa nahas udara Washington

Pegawai penguatkuasa undang-undang meneruskan siasatan mereka ke atas pesawat American Airlines yang terhempas ke dalam Sungai Potomac ketika ia cuba mendarat di Lapangan Terbang Nasional Reagan pada 30 Januari 2025 di Washington, DC.(Gambar: Kayla Bartkowski / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images menerusi AFP)

Diterbitkan : 31 Jan 2025 09:57AM Dikemas Kini : 31 Jan 2025 09:59AM
WASHINTON: Juara dunia luncur ais, seorang juruterbang yang sedang merancang perkahwinannya dan atlet remaja sukan luncur yang dianggap mempunyai "masa depan cerah dalam sukan itu" merupakan antara 67 mangsa yang terkorban dalam nahas yang meragut nyawa itu.

Ia melibatkan sebuah jet komersil dan sebuah helikopter Angkatan Tentera Amerika yang bertembung antara satu sama lain di udara, dekat Washington.

Kesemua 64 penumpang pesawat American Eagle, yang berlepas dari Wichita, Kansas, termasuk 60 penumpang dan empat anak kapal, maut. Manakala, kesemua tiga askar turut terkoban apabila kedua-dua pesawat berkenaan berlanggar pada Rabu (29 Jan), sekali gus mengakibatkan letupan.

Berikut apa yang diketahui tentang sebilangan mangsa:

SPENCER LANE DAN JINNA HAN

Pada 2022, Spencer menyaksikan Nathan Chen, bintang luncur ais Amerika, memenangi pingat emas Sukan Olimpik lalu memutuskan beliau mahu bermain luncur ais juga, kata bapanya, Douglas Lane, kepada WPRI di Rhode Island.

Tiga tahun kemudian, remaja berusia 16 tahun itu telah membuktikan bakatnya yang luar biasa, dengan melayakkan diri bagi kem latihan atlet elit di Wichita yang dikhaskan bagi para atlet muda, yang pengarah eksekutif kelab luncurnya, Doug Zeghibe, menyifatkan sebagai "bintang masa depan sukan itu".

Tidak lama sebelum pesawat berkenaan berlepas, Spencer memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan sayap pesawat itu di wadah Instagram, menurut laporan media. Dalam satu lagi catatan, beliau menyatakan bahawa melayakkan diri untuk menyertai kem tersebut telah menjadi cita-citanya buat sekian lama sambil menyifatkan latihan itu sebagai "satu pengalaman hebat".

Jinna, 13 tahun, juga melayakkan diri bagi kem tersebut, yang diadakan selepas kejohanan luncur ais kebangsaan Amerika minggu lalu di Kansas.

Kedua-dua Spencer dan Jinna berlatih hampir setiap hari di Kelab Luncur Boston di Norwood, Massachusetts, menurut pengarah kelab itu, Zeghibe. Keluarga Lane tinggal di Rhode Island, manakala keluarga Han pula menetap di kawasan Boston.

Ibu Spencer, Christine dan ibu Jinna, Jin turut berada dalam pesawat berkenaan. Kedua-dua mereka merupakan "ibu teladan", yang telah banyak berkorban demi membantu anak-anak mereka mencapai kejayaan dalam sukan itu, ujar Zeghibe.

ASRA HUSSAIN RAZA

Raza, 26 tahun, menghantar kiriman mesej kepada suaminya, Hamaad, dari pesawat malang itu ketika mereka menghampiri Washington, sambil memaklumkan bahawa beliau akan mendarat dalam masa kira-kira 20 minit.

Hamaad Raza, 25 tahun, yang sedang menunggu ketibaannya di lapangan terbang, bagaimanapun tidak menerima sebarang mesej lain selepas itu, kata bapanya, Hashim Raza, kepada Reuters.

"Asra adalah segala-galanya bagi kami," luah Hashim Raza sebak, dalam satu temu bual menerusi panggilan telefon ketika beliau melakukan perjalanan dari Missouri ke Washington untuk bertemu anaknya.

Pasangan itu bertemu di Indiana University Bloomington, di mana beliau melakukan pengajiannya dalam kewangan korporat dan merupakan seorang pelajar kolej yang sering kali mengungguli kohortnya.

Asra Hussain Raza kemudian memperoleh ijazah sarjana dalam kesihatan awam dari Universiti Columbia dan mendapat pekerjaan dengan kumpulan perunding di Washington, dengan matlamat utama untuk bekerja bagi pemerintah demi meningkatkan kesihatan awam, kata bapa mertuanya.

"Apa yang beliau mahu lakukan adalah untuk membantu orang ramai, dan DC, dalam fikirannya, adalah tempat untuk mencapai matlamatnya," kata Raza.

Beliau melakukan perjalanan ke Wichita kira-kira sekali atau dua kali sebulan untuk membantu mengubah nasib sebuah hospital, jelasnya.

SAM LILLEY, IAN EPSTEIN, JONATHON CAMPOS, DANASIA ELDER

Lilley, 28 tahun merupakan salah seorang daripada dua juruterbang pesawat itu, berkhidmat sebagai pegawai pertama, jelas bapanya Timothy Lilley, dalam satu catatan Facebook.

"Saya bangga apabila Sam menjadi seorang juruterbang," kongsi Lilley, yang juga merupakan seorang juruterbang. Beliau berada di New York ketika nahas itu berlaku. "Sekarang, ia sangat mengharukan sampaikan saya tidak dapat tidur."

Pramugara Epstein ialah seorang yang suka beramah mesra dan menyayangi pekerjaannya, kata bekas isterinya, Debi Epstein, kepada Charlotte Observer.

Ian Epstein mempunyai dua anak perempuan, termasuk seorang yang akan berkahwin dalam tempoh lapan minggu dari sekarang, kata Debi Epstein kepada akhbar itu.

Campos ialah kapten pesawat, dan Elder merupakan pramugara kedua, menurut laporan media.
Sumber : Reuters/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita