Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Asiana henti jual tempat duduk sebelah pintu kecemasan A321-200 susuli lelaki buka pintu ketika di ruang udara

Anggaran Waktu Membaca:
Asiana henti jual tempat duduk sebelah pintu kecemasan A321-200 susuli lelaki buka pintu ketika di ruang udara

(Gambar: Yonhap)

Diterbitkan : 28 May 2023 03:50PM Dikemas Kini : 28 May 2023 05:35PM
SEOUL: Syarikat penerbangan kedua terbesar Korea Selatan, Asiana Airlines Inc., pada Ahad (28 Mei), mengumumkan tidak akan lagi menjual tempat-tempat duduk kecemasan tertentu dalam pesawat penumpang A321-200.

Ia menyusuli insiden baru-baru ini di mana seorang penumpang membuka pintu kecemasan jenis pesawat yang sama semasa ia hampir melakukan pendaratan, lapor agensi berita Yonhap.
Mulai 28 Mei, Asiana Airlines tidak lagi menjual tempat duduk 26A bagi 11 pesawat A321-200 yang boleh menampung 174 penumpang, serta tempat duduk 31A dalam tiga pesawat A3210-200 yang boleh menampung 195 penumpang, menurut syarikat itu dalam satu kenyataan.

Tempat duduk sebelah pintu kecemasan dalam pesawat A321-200 tidak boleh lagi ditempah, walaupun jika semua tempat duduk sudah ditempah, menurut kenyataan itu, tanpa mendedahkan garis masa bagi penggantungan tersebut.

Kejadian yang berlaku dalam pesawat A321-200 melibatkan penerbangan menuju ke bandar Daego, 237 kilometer di tenggara Seoul, dari Pulau Jeju pada Jumaat (26 Mei).

Seorang lelaki yang duduk di deretan tempat duduk kecemasan membuka pintu semasa pesawat A321-200 itu berada sekitar 213 meter di udara sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Daegu.

Tiada penumpang dalam pesawat itu terkeluar atau cedera susuli insiden tersebut, tetapi 12 penumpang yang cemas menghadapi kesukaran bernafas dan sesetengah daripada mereka dibawa ke hospital.
Polis mengeluarkan waran tangkap bagi Lee kerana dipercayai melanggar undang-undang keselamatan penerbangan.

Di bawah akta tersebut, seseorang penumpang yang mengendalikan pintu, pintu kecemasan atau peralatan dalam kapal terbang boleh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun.

Sementara itu, kesemua tempat duduk kecemasan dalam pesawat penumpang lain yang dikendalikan Asiana masih boleh ditempah.

Syarikat penerbangan lain, seperti Air Seoul Inc. dan Air Premia Co., dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menggantung penjualan tempat duduk dekat pintu kecemasan, menurut Yonhap.

Kementerian Pengangkutan Korea Selatan berkata, sama ada untuk mengambil langkah tersebut bergantung kepada keputusan syarikat penerbangan itu sendiri dan tidak berdasarkan undang-undang pihak berkuasa penerbangan.
Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan