Asia Tenggara kekal 'keutamaan jelas' meski ada kebimbangan tarif Trump: Utusan Amerika ke ASEAN
Utusan Amerika Syarikat ke ASEAN Kevin Kim berkata pentadbiran Trump sudah memberi arahan jelas bahawa ia berhasrat memperdalam hubungan dengan Asia Tenggara. (Gambar: CNA)
Encik Kim memberitahu Mediacorp bahawa pentadbiran Presiden Trump sudah memberi arahan tegas bahawa ia berhasrat memperdalam hubungan dengan Asia Tenggara.
"Kami menerima arahan yang sangat jelas daripada peringkat tertinggi pemerintah dan kepimpinan kami bahawa Asia Tenggara kekal menjadi keutamaan jelas bagi pemerintah Amerika Syarikat," katanya.
Beliau berada di Kuala Lumpur minggu lalu untuk menghadiri Persidangan Undang-Undang dan Operasi Ketenteraan Antarabangsa tahunan.
Menurut Encik Kim, antara perkara utama yang mahu dilakukan Washington adalah menyediakan penyelesaian Amerika bagi cabaran dan isu yang dihadapi rantau ini.
TRUMP MAHU SYARAT 'ADIL DAN SALING MENGUNTUNGKAN'
Kenyataan itu dibuat sedang ekonomi Asia Tenggara berdepan ketidaktentuan berkaitan dasar perdagangan Washington, yang menimbulkan persoalan mengenai kesannya terhadap hubungan Amerika dengan ASEAN.
Ditanya sama ada rundingan tarif baru-baru ini berisiko menjejas kepercayaan antara Amerika dengan ASEAN, Encik Kim menegaskan bahawa Presiden Trump mahukan "syarat yang adil dan saling menguntungkan".
Menurutnya, prinsip itu menjadi asas agenda perdagangan Washington.
Amerika juga mahu mengimbangi semula hubungan perdagangannya, termasuk memastikan barangan yang memasuki negara itu tidak dihasilkan menggunakan buruh paksa.
Encik Kim berkata pelaburan Amerika di Asia Tenggara melebihi AS$500 bilion (S$640.5 bilion), iaitu lebih besar berbanding jumlah pelaburannya di China, Hong Kong, India, Korea Selatan dan Jepun jika digabungkan.
Lebih 6,000 syarikat Amerika turut beroperasi di seluruh rantau ini.
Menurut beliau, pelaburan Amerika memberi manfaat kepada Asia Tenggara dengan membantu negara-negara mempelbagaikan rantaian bekalan dan mewujudkan pekerjaan.
"Saya rasa pemerintah dan rakyat Asia Tenggara mengakui bahawa Amerika Syarikat perlu terlibat dan kami merupakan rakan yang amat diperlukan di rantau ini," katanya.
Pelaburan itu menyasarkan bidang termasuk keselamatan tenaga dan teknologi masa depan.
LAUT CHINA SELATAN
Dalam wawancara itu, Encik Kim turut menggariskan pendekatan Washington terhadap Laut China Selatan dan Myanmar.
Mengenai Laut China Selatan, beliau berkata rundingan berhubung Kod Tatalaku (COC) pada asasnya perlu kekal antara ASEAN dengan China.
"Kami bukan pihak dalam rundingan tersebut," katanya.
Beliau menambah bahawa Amerika menghormati pendekatan ASEAN yang berasaskan kata sepakat, dengan negara-negara anggota perlu membentuk pendirian bersama dalam rundingan dengan Beijing.
Namun, Encik Kim menegaskan bahawa Laut China Selatan kekal penting bagi kepentingan Amerika dan menyifatkannya sebagai kawasan maritim penting yang menjadi sandaran ekonomi global.
"Kami akan terus menegakkan norma antarabangsa yang penting, seperti kebebasan pelayaran, dan kami juga akan terus memenuhi kewajipan perjanjian kami terhadap Filipina," katanya.
Washington juga akan terus menyediakan bantuan keselamatan dan sokongan lain bagi membantu sekutu serta rakan kongsinya di rantau ini meningkatkan keupayaan mempertahankan kepentingan masing-masing.
AMERIKA GESA DIALOG DI MYANMAR
Mengenai Myanmar, Encik Kim berkata Amerika mahu keganasan dihentikan dan dialog antara pihak-pihak yang terlibat dalam konflik disambung semula.
Beliau turut menekankan perlunya pihak-pihak terlibat menghormati Konsensus Lima Perkara ASEAN, yang menjadi rangka kerja blok itu dalam menangani krisis Myanmar.
"Pada asasnya, Amerika Syarikat mahu melihat penderitaan manusia dikurangkan. Kami mahu melihat dialog supaya pihak-pihak berbeza dapat bertukar-tukar pendirian," katanya.
Encik Kim, yang memulakan tugas sebagai duta pada Jun, berkata antara keutamaannya adalah memperdalam kerjasama Washington dengan Asia Tenggara dalam pelbagai bidang, termasuk diplomasi dan bantuan luar.
"Presiden menyatakan bahawa kami bersama ASEAN 100 peratus," katanya.
"Itulah pendirian kami sebelum ini, pendirian kami sekarang dan akan terus menjadi pendirian kami."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.