Asia Tenggara dilanda 44 bencana besar minggu lalu: Pusat AHA
Monsun lebih kencang baru-baru ini menyebabkan keadaan banjir berhampiran stesen MRT Marina Bay dan tingkat paling bawah di lobi lif Blok 129 Bedok Reservoir Road. (Gambar fail: AP/David Goldman)
Di Indonesia, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) melaporkan kesan meluas di beberapa wilayah termasuk Jawa Timur, Kalimantan Timur, Sumatra Utara, Sulawesi Selatan dan Barat, Nusa Tenggara Timur, Banten, Kalimantan Utara dan Tengah, Jawa Tengah dan Barat, Jakarta serta Papua Barat.
Di Thailand, Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana mengesahkan kejadian banjir di daerah Ban Rai, wilayah Uthai Thani, menurut laporan mingguan AHA Centre.
Sementara itu, Majlis Mitigasi dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) Filipina melaporkan kejadian banjir dan tanah runtuh di Mindanao Utara, Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Muslim (BARMM), dan Wilayah XII.
Menurut NDRRMC, satu kematian direkodkan dan kira-kira 79,600 penduduk terjejas di Lanao del Norte, Misamis Oriental, Maguindanao Selatan dan Cotabato.
Pusat AHA memaklumkan hujan lebat yang mencetuskan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Mindanao pada 15 Mei disebabkan oleh zon penumpuan antara tropika.
Di Myanmar, jumlah kematian akibat gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter berhampiran Mandalay pada 28 Mac meningkat kepada 3,727 orang, dengan 81 masih hilang manakala lebih 5,100 cedera, menurut Jabatan Pengurusan Bencana negara itu pada 18 Mei.
“Gempa bumi itu menjejaskan hampir 508,000 orang, dengan lebih 28,500 ditempatkan di 106 pusat pemindahan dan lebih 266,000 tinggal bersama saudara-mara,” menurut Pusat AHA.
Penilaian kerosakan mendapati sebanyak 11,600 rumah musnah sepenuhnya dan lagi 39,600 mengalami kerosakan, manakala ribuan sekolah, hospital, pejabat pemerintah, jambatan dan jalan raya turut rosak.
Jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai AS$1.7 bilion (S$2.2 bilion) dan pihak berkuasa masih menjalankan pengesahan lanjut terhadap angka itu.
Selain itu, lima gempa bumi kuat melebihi 5.0 pada skala Richter turut direkodkan, manakala aktiviti gunung berapi dilaporkan berlaku di beberapa lokasi di Indonesia dan Filipina.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.