Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Aset dana 1MDB berjumlah RM20.5 bilion dipulangkan kepada kerajaan M'sia

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama dan bantuan agensi-agensi penguat kuasa antarabangsa berjaya memulangkan aset dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah lebih RM20.5 bilion (S$6.66 bilion) kepada kerajaan Malaysia.

Anggaran Waktu Membaca:
Aset dana 1MDB berjumlah RM20.5 bilion dipulangkan kepada kerajaan M'sia

(Gambar fail: BERNAMA)

Diterbitkan : 19 Nov 2021 02:11PM Dikemas Kini : 19 Nov 2021 02:15PM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama dan bantuan agensi-agensi penguat kuasa antarabangsa berjaya memulangkan aset dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berjumlah lebih RM20.5 bilion (S$6.66 bilion) kepada kerajaan Malaysia.

Menerusi satu kenyataan hari ini (19 Nov), SPRM memaklumkan pihaknya sedang giat meneruskan pemulihan aset dana 1MDB di dalam dan luar negara seperti Amerika Syarikat, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan dan Singapura.

Terbaru pada 12 Nov lepas, Jabatan Ehwal Komersil Singapura (CAD) sudah membuat pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd (SRC) Nik Faisal Ariff Kamil kepada kerajaan Malaysia menerusi Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset milik Kementerian Kewangan Malaysia berjumlah sekitar AS$865,000 (S$1.17 juta).

Sebelum ini, SPRM memberitahu pemerintah Singapura juga sudah membantu dalam pemulangan aset sebanyak AS$15.4 juta (S$20.9 juta) kepada Malaysia melibatkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

"SPRM juga sedang dalam usaha untuk pemulihan aset bagi negara-negara seperti Switzerland, Kuwait, Mauritius, Cyprus, Hong Kong melibatkan individu yang mempunyai kaitan dengan kes 1MDB,” katanya.

Pada 12 Mei lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan kira-kira RM1.9 bilion (S$0.62 bilion) sudah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ), dan wang berkenaan adalah sebahagian daripada dana berkaitan 1MDB yang disita.

Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan – di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara – sudah menerima sebanyak RM16.05 bilion (S$5.22 bilion) dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.

Jumlah di dalam Akaun Amanah berkenaan akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC.

Menurut Kementerian Kewangan, setakat ini kerajaan sudah melunaskan sebanyak RM12.4 bilion (S$4.03 bilion) hutang 1MDB dan RM3.1 bilion (S$1.01 bilion) hutang SRC. Baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon, keuntungan, faedah bagi bon, Sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.8 billion (S$12.9 bilion) (1MDB) dan RM2.57 bilion (S$0.84 bilion) (SRC).

Usaha pemulihan aset oleh kerajaan pada masa ini memfokuskan kepada pihak-pihak yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi 1MDB dan SRC.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan