ASEAN setuju kemukakan Deklarasi Bangkok bagi banteras bahan buangan laut
Dalam usaha membanteras bahan buangan marin di rantau ini, negara-negara anggota ASEAN pada Selasa (5 Mac) bersetuju untuk mengemukakan Deklarasi Bangkok untuk pertimbangan dan kelulusan pemimpin-pemimpin ASEAN di Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 pada Jun.

Setakat 2010, 5 daripada 10 negara di dunia yang paling banyak melepaskan sampah plastik ke dalam laut adalah dari ASEAN. (Gambar: AFP)
BANGKOK: Dalam usaha membanteras bahan buangan marin di rantau ini, negara-negara anggota ASEAN pada Selasa (5 Mac) bersetuju untuk mengemukakan Deklarasi Bangkok untuk pertimbangan dan kelulusan pemimpin-pemimpin ASEAN di Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 pada Jun.
Ini diumumkan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand, Jeneral Surasak Kanchanarat, selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Peringkat Menteri ASEAN mengenai Bahan Buangan Marin semalam (5 Mac).
Beliau berkata oleh kerana lima daripada 10 negara di dunia yang paling banyak melepaskan bahan buangan plastik ke dalam laut adalah dari rantau ini, negara-negara anggota melahirkan keprihatinan mereka terhadap ancamannya kepada alam sekitar, kesihatan kepelbagaian hayat, masyarakat dan ekonomi.
"Oleh itu, menteri-menteri tersebut menyambut baik dan bersetuju mengemukakan Deklarasi Bangkok itu untuk pertimbangan dan kelulusan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN tersebut," kata Jeneral Kanchanarat dalam satu kenyataan.
Berdasarkan laporan oleh Jabatan Marin dan Sumber Pantai Thailand, setakat 2010, lima daripada 10 negara di dunia yang paling banyak melepaskan bahan plastik buangan ke dalam laut adalah dari ASEAN.
Lima negara yang mengeluarkan buangan marin paling banyak berdasarkan purata tahunan adalah Indonesia dengan sebanyak 1.29 juta tan metrik, Filipina (0.75 juta tan metrik), Vietnam (0.73 juta tan metrik), Thailand (0.41 juta tan metrik) dan Malaysia (0.37 tan metrik).
China adalah punca terbesar bahan buangan marin, mengeluarkan 3.53 juta tan metrik.
Sementara itu, Jabatan Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand menyatakan negara-negara anggota ASEAN sudah berusaha mewujudkan dasar membanteras bahan buangan marin.
Negara-negara itu juga menegaskan mengenai pentingnya untuk mempertingkatkan usaha tersebut seperti di peringkat serantau menerusi mekanisme yang diterajui ASEAN, termasuk Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).
Mesyuarat itu adalah inisiatif Thailand, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, untuk menyediakan platform bagi mengkaji tindakan konkrit dalam membanteras bahan buangan marin dan memperkukuhkan kerjasama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.