ASEAN pertimbangkan perkongsian bekalan bahan api, makanan sedang kebimbangan gangguan berpanjangan meningkat
Simpanan bahan api serantau dan aturan jaminan makanan merupakan antara langkah yang dicadangkan pada Jumaat (8 Mei) di Sidang Puncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), sedang negara-negara anggota terus bergelut dengan kesan perang di Timur Tengah.
Gambar berkumpulan para pemimpin semasa majlis pembukaan Sidang Puncak ASEAN ke-48 dan Mesyuarat Berkaitan di Cebu, Filipina, pada 8 Mei 2026. (Gambar: Aaron Favila/Pool menerusi REUTERS)
Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr, selaku pengerusi blok 11 anggota itu bagi 2026, menggesa negara-negara anggota supaya melaksanakan “kerjasama praktikal” dalam dunia yang semakin tidak menentu.
Penutupan berpanjangan Selat Hormuz - laluan perairan yang menjadi saluran utama bagi sebahagian besar daripada bekalan minyak dan gas Asia - akibat perang di Timur Tengah menjejaskan bekalan tenaga dan baja, meningkatkan harga dan mengancam mata pencarian.
“Dalam ketidaktentuan yang semakin memuncak, ASEAN mesti memperkukuh penyelarasan dan kesiapsiagaan, (serta) melaksanakan langkah kolektif yang praktikal untuk melindungi kestabilan bekalan tenaga dan meningkatkan keterhubungan,” kata Encik Marcos dalam ucapan pembukaannya di sesi plenari.
Mengenai simpanan bahan api serantau, Encik Marcos memberitahu media selepas sidang puncak tersebut bahawa para pemimpin ASEAN sudah membincangkan satu “mekanisme” untuk mewujudkan “simpanan” bagi pelbagai produk bahan api yang boleh dikongsikan antara negara anggota.
“Situasi sekarang sangat berbeza bagi setiap negara. Sesetengah negara mempunyai lebihan jenis bahan api tertentu. Negara lain pula mengalami kekurangan, dan kami sedang cuba untuk mengimbangkannya,” kata beliau dalam satu sidang media.
“Dan apabila perkara seperti ini berlaku - perang tercetus dan laluan perdagangan seperti Selat Hormuz ditutup di samping segala kesannya - kami mempunyai tempat untuk mendapatkan bekalan kecemasan dengan segera.”
ASEAN dijangka mengeluarkan satu pengisytiharan bersama yang merangkumi rancangan untuk melancarkan pelan kecemasan yang menjunjung undang-undang antarabangsa, kedaulatan dan kebebasan pelayaran sebagai maklum balas terhadap perang di Timur Tengah. Ini berdasarkan draf pengisytiharan yang dilihat Associated Press.
Pada Khamis, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia Johari Ghani dilaporkan berkata ASEAN sedang meneroka kemungkinan untuk mewujudkan simpanan bahan api serantau bagi meningkatkan daya tahan terhadap gangguan bekalan pada masa depan.
Cadangan itu akan membolehkan negara-negara anggota menyelaras keperluan dan simpanan bahan api sebagai satu kumpulan serantau, daripada bertindak secara individu, kata Encik Johari di luar sidang puncak yang diadakan di Cebu, tengah Filipina itu.
Encik Johari berkata rangka kerja yang dicadangkan itu mungkin melibatkan sektor swasta dan membolehkan semua negara anggota ASEAN untuk mengakses simpanan tersebut, selain menarik lebih banyak pelaburan ke dalam sektor tenaga pada masa depan.
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata pada Jumaat bahawa ASEAN perlu mengiktiraf bahawa kerjasama strategik dengan rakan-rakan yang dipercayai dan kumpulan serantau boleh memperkukuhkan jaminan tenaga jangka panjang ASEAN.
“Dalam konteks ini, ASEAN perlu memanfaatkan sepenuhnya kerjasama dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), termasuk jaringan ASEAN-GCC-China yang lebih luas, bagi membina aturan tenaga yang lebih dipercayai dan berdaya tahan,” kata beliau dalam ucapannya di sesi plenari.
ASEAN, negara-negara Teluk serta China mengadakan pertemuan bersejarah pertama pada Sidang Puncak ASEAN tahun lalu, di mana pihak-pihak tersebut berikrar untuk membina model kerjasama baharu di tengah-tengah persekitaran global yang “semakin kompleks”.
Kepentingan bersama termasuk memperkukuh jaminan makanan dan tenaga, menangani perubahan iklim menerusi pelaburan dalam tenaga bersih, serta melindungi kebebasan pelayaran dan keselamatan laluan maritim.
Encik Anwar pada Jumaat turut mengulangi keperluan ASEAN untuk mempelbagaikan sumber bahan api fosilnya dan mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap rantaian bekalan yang terdedah kepada risiko, sambil menyatakan bahawa usaha untuk memulihkan “kestabilan” laluan perdagangan dan harga tenaga boleh mengambil masa sehingga 18 bulan, bergantung kepada perkembangan geopolitik.
“Pada masa yang sama, Grid Tenaga ASEAN kekal menjadi teras peralihan tenaga dan jaminan jangka panjang kita. Lebih banyak pelaburan diperlukan untuk mempercepat keterhubungan rentas sempadan dan pertumbuhan rendah karbon,” tambah beliau.
Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pula memberi amaran meskipun Selat Hormuz dibuka semula esok, sekurang-kurangnya beberapa bulan diperlukan untuk memperbaiki prasarana-prasarana yang rosak dan memulihkan kembali aliran barangan.
ASEAN perlu memperkukuhkan jaminan tenaga kolektifnya dan berusaha ke arah “pengesahan segera” Perjanjian Jaminan Petroleum ASEAN sebagai satu lagi alat untuk menangani krisis tenaga, kata beliau.
Perjanjian itu bertujuan meningkatkan jaminan tenaga dalam kalangan negara anggota ASEAN, terutamanya menerusi skim perkongsian petroleum secara sukarela dan berasaskan sifat komersial semasa kecemasan bekalan.
Encik Wong menggalakkan negara-negara anggota supaya melangkaui perjanjian itu dan menjadikannya sebagai asas bagi langkah lain yang boleh memperkukuh jaminan tenaga kolektif ASEAN.
“Saya tahu para menteri dan pegawai kami juga sedang membincangkan pelbagai idea, termasuk kemungkinan mewujudkan simpanan bahan api serantau,” kata beliau.
SERUAN UNTUK MEMPERKUKUH ATURAN JAMINAN MAKANAN
Mengenai jaminan makanan, Encik Anwar mencadangkan untuk meneroka satu “aturan siap siaga serantau bagi jaminan makanan” ketika krisis.
Walaupun beliau tidak memberikan perincian mengenai bagaimana aturan sedemikian boleh dilaksanakan, Encik Anwar berkata ia akan memastikan penyelarasan dan maklum balas kecemasan yang lebih pantas dalam kalangan negara anggota.
“Krisis tenaga kini secara langsung menyumbang kepada ketidakjaminan makanan. Harga bahan api yang lebih tinggi meningkatkan kos baja, pengangkutan dan pengeluaran, sekali gus mewujudkan tekanan bekalan segera di seluruh rantau ini,” kata beliau.
“Jika gangguan berterusan, ASEAN berdepan risiko hasil pengeluaran yang lebih rendah dan inflasi makanan yang berpanjangan hingga tahun depan. Oleh itu, jaminan makanan mesti dianggap sebagai keutamaan strategik serantau.”
Encik Anwar turut mencadangkan supaya mekanisme Simpanan Beras Kecemasan ASEAN+3 diperkukuh dengan memperluaskannya untuk merangkumi baja.
Mekanisme itu, yang melibatkan negara anggota ASEAN serta China, Jepun dan Korea Selatan, melibatkan penyimpanan stok beras untuk dikeluarkan serta-merta semasa bencana tanpa menjejas harga pasaran.
PM Wong pula berkata rantaian bekalan dalam ASEAN perlu diperkukuh, khususnya bagi barangan penting seperti makanan.
“Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dipertingkat sebenarnya tepat pada masanya kerana ia mengurangkan rintangan bukan tarif terhadap perdagangan makanan dan menggalakkan pertukaran maklumat keselamatan makanan,” kata beliau, sambil menambah bahawa inisiatif sedemikian boleh melengkapi usaha sedia ada di bawah Simpanan Beras Kecemasan ASEAN+3.
ATIGA dipertingkat pada Oktober tahun lalu bagi memperbaiki aliran bebas barangan antara negara-negara anggota ASEAN dan mencapai kos perniagaan lebih rendah, peningkatan perdagangan, serta pasaran dan ekonomi pada skala lebih besar bagi perniagaan.
“Dalam soal makanan, ASEAN sebenarnya merupakan sebuah pusat pengeluaran utama, menyumbang hampir 10 peratus daripada eksport pertanian global. Kita harus memanfaatkan kekuatan sedia ada untuk memenuhi keperluan rakyat kita dengan lebih baik,” tambah Encik Wong.
Encik Marcos berkata penutupan Selat Hormuz “dengan cepat menjejas” harga dan bekalan makanan, khususnya baja, serta kesejahteraan para penduduk ASEAN.
“Tugas kita adalah untuk memastikan ASEAN kekal responsif untuk memperkukuh dan memperluas perdagangan dalam ASEAN serta membina keupayaan untuk melindungi dan memperkukuh sistem makanan di seluruh rantau ini,” kata beliau.
“Inovasi digital boleh membantu kita menjangkakan kekurangan bekalan, meningkatkan produktiviti pertanian dan menyokong proses untuk membuat keputusan yang responsif supaya rakyat yang terdedah dapat dilindungi dengan lebih baik.”
Encik Marcos turut menggesa negara-negara anggota agar memanfaatkan inovasi, termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara inklusif dan bertanggungjawab, bagi memperbaiki ramalan tenaga, memperkukuh pengurusan grid dan fleksibiliti sistem, serta menyokong peralihan kepada tenaga bersih.
Dalam pada itu, Presiden Indonesia Prabowo Subianto menggesa negara-negara ASEAN mempercepat kepelbagaian tenaga, sambil mengatakan bahawa ia bukan lagi satu pilihan tetapi “keperluan”.
“Kita mesti bergerak lebih pantas. Kita mesti beralih kepada sumber alternatif dan perlu menyediakan tenaga boleh diperbaharui,” kata beliau seperti yang dipetik agensi berita Antara, sambil memberi amaran bahawa tekanan terhadap bekalan tenaga tidak mungkin reda dalam masa terdekat.
Pada hari yang sama, semasa sesi rahat para pemimpin, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul menggesa negara-negara anggota supaya melangkaui pendirian nasional, mengutamakan kepentingan kolektif serantau dan menterjemahkannya dalam bentuk tindakan yang konkrit.
“ASEAN juga mesti meningkatkan penyelarasan dan mekanismenya untuk membuat keputusan kerana kepantasan dan perpaduan amat penting ketika krisis,” menurut jurucakap pemerintah Rachada Dhnadirek yang memetik kenyataan beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.