Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

ASEAN perlu lebih lantang terhadap isu Laut China Selatan

Anggaran Waktu Membaca:
BANGKOK: Para anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) perlu melantangkan suara perkumpulan tersebut terhadap pertikaian di Laut China Selatan, dan mempercepatkan rundingan untuk kod tatalaku bagi perairan tersebut, kata diplomat tertinggi Filipina.

Dengan melantangkan suara, perkumpulan seramai 10 anggota itu boleh mewujudkan kesedaran yang lebih tinggi tentang kepentingan mematuhi undang-undang antarabangsa bagi menghuraikan pertikaian secara aman, kata Setiausaha Ehwal Luar Filipina Enrique Manalo pada Jumaat (18 Okt).

“(Ada) keperluan untuk ASEAN bercakap lebih sedikit tentang situasi (Laut China Selatan),” katanya kepada Mediacorp di Bangkok, di mana Filipina dan Thailand meraikan 75 tahun hubungan diplomatik rasmi kedua-dua negara.

“ASEAN mempunyai peranan penting dalam menegakkan prinsip-prinsip tertentu, seperti kedaulatan undang-undang antarabangsa, terutama berkaitan Laut China Selatan, dan memastikan negara-negara dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dalam rundingan mengenai kod tatalaku.”

Beliau berkata pemimpin ASEAN telah mengadakan "perbincangan terus terang" mengenai perkembangan di Laut China Selatan semasa sidang puncak serantau blok itu di Laos minggu lalu.

Semasa pertemuan itu, Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr menggesa agar kod itu disegerakan, di mana kemajuannya agak perlahan, sambil menuduh China melakukan gangguan dan ugutan di perairan yang dipertikaikan itu.

Selain Filipina, anggota ASEAN yang lain, Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Brunei juga mempunyai tuntutan bertindih ke atas pelbagai pulau kecil dan terumbu di Laut China Selatan, yang dituntut oleh Beijing hampir keseluruhannya.

"Ini adalah cabaran yang sangat kompleks, dan saya tidak fikir ia adalah sesuatu yang boleh kita selesaikan dalam sekelip mata," kata Encik Manalo, sambil menambah bahawa perbincangan utama masih belum dapat diselesaikan, termasuk ciri-ciri kod tatalaku dan jika ia akan mengikat secara sah.

Namun, beliau berharap para anggota ASEAN menunjukkan sokongan kepada Manila, dengan sebilangan daripada mereka bersetuju untuk melakukan rondaan dan latihan bersama di perairan yang dipertikaikan itu, tanpa menjelaskan secara spesifik.

KETEGANGAN MANILA-BEIJING DI LAUT CHINA SELATAN

China dan Filipina bertelagah dalam rentetan konfrontasi di Laut China Selatan, dengan Manila mengkritik pencerobohan pengawal pantai China dan Beijing pula mendakwa Manila mencerobohi wilayahnya.

Encik Manalo berkata selain ASEAN, rakan-rakan perdagangan tradisional seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU) juga menyokong hak Filipina untuk menegakkan kedaulatannya.

“(Mereka) menyokong pendekatan kami untuk memperjuangkan kepentingan undang-undang antarabangsa, menegaskan hak kami dan meningkatkan perkongsian kami. Tindakan yang kami ambil mematuhi undang-undang,” katanya.

Namun, diplomat itu berkata walaupun ketegangan semakin memuncak, masih ada jalan untuk Manila dan Beijing menyelesaikan perbezaan mereka.

“Kapal kami… telah dirampas, dengan beberapa nelayan kami dihalau dari kawasan tradisional mereka. Ini adalah cabaran yang kami tempuh secara konsisten dengan China,” katanya.

"Matlamatnya adalah untuk melihat bagaimana kita boleh menanganinya secara aman," katanya, sambil menambah bahawa diplomat dari kedua-dua negara bertemu kira-kira dua kali setahun untuk menyelesaikan isu.

Beliau menekankan hubungan Filipina dengan Vietnam sebagai contoh "komitmen untuk menyelesaikan perbezaan secara aman, dan bukan melalui ancaman".

Kedua-dua negara mempunyai hubungan yang rumit berhubung tuntutan bertindih di Laut China Selatan, tetapi hubungan bertambah baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata Encik Manalo.

“Malah, kami adalah rakan kongsi strategik sekarang. Di kawasan maritim, kita telah mencapai persefahaman bagaimana untuk meningkatkan kerjasama maritim kita,” katanya.

"Kami telah bersetuju bahawa perbezaan harus diselesaikan secara aman melalui kaedah diplomatik dan dialog, menggunakan undang-undang antarabangsa sebagai asas."

Beliau menambah bahawa bercakap mengenai konflik dengan China memberi manfaat bukan sahaja kepada negaranya, tetapi juga orang lain di rantau ini.

"Dengan bersuara seperti itu, semakin banyak negara kini menyedari bahawa mungkin sudah tiba masanya untuk melihat secara serius bagaimana kita (boleh) melaksanakan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut," katanya.

MENGERATKAN IKATAN DENGAN RAKAN-RAKAN

Filipina juga mengukuhkan kerjasama pertahanan dan ekonomi dengan rakan-rakan kongsi serantau dan global.

Encik Manalo berkata dengan ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, sambil merujuk kepada konflik di Eropah dan Timur Tengah, banyak negara turut melaksanakan dasar luar untuk meningkatkan hubungan.

"Kami mahu mempromosikan keselamatan negara dan daya tahan ekonomi, dan mengukuhkan keupayaan kami untuk menyesuaikan diri dan menjaga diri sendiri," katanya.

“Adalah penting (negara-negara) bekerjasama… untuk menangani keprihatinan keselamatan dan memastikan daya tahan serta keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang tidak dijangka.”

Beliau menambah bahawa walaupun terdapat pertikaian di bahagian lain dunia, Laut China Selatan - salah satu laluan maritim paling sibuk - terlalu penting dari segi ekonomi dan politik untuk diabaikan oleh masyarakat antarabangsa.

“Masyarakat antarabangsa melihat kepentingan Laut China Selatan sebagai rantau yang penting untuk perdagangan antarabangsa, pelaburan dan perkapalan."
 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan