ASEAN perlu kerjasama tangani kesan perubahan iklim dan risiko bencana
ASEAN digesa Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (ESCAP) untuk menggunakan pendekatan yang lebih bersepadu untuk menangani perubahan iklim.
Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (ESCAP), Armida Salsiah Alisjahbana. (Gambar: Bernama)
ESCAP juga memberi amaran bahawa bencana berkaitan iklim yang semakin buruk boleh mengancam kestabilan ekonomi dan sosial di rantau ASEAN.
Setiausaha Agung Rendah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merangkap Setiausaha Eksekutif ESCAP, Armida Salsiah Alisjahbana berkata kekerapan dan tahap teruk bencana alam termasuk banjir, kemarau dan suhu melampau kian memburuk akibat perubahan iklim.
Kata beliau, "Kita sedang menyaksikan satu trend yang membimbangkan—bencana iklim semakin kerap dan semakin teruk, sekali gus memburukkan lagi kerentanan ekonomi. Ini bukan lagi sekadar isu alam sekitar; ia telah menjadi krisis ekonomi dan kemanusiaan."
Cik Alisjahbana berada di Malaysia bagi lawatan kerja selama dua hari, bermula Isnin (17 Feb), dan beliau mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming serta Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Ekonomi, V Valluvan.
Cik Alisjahbana turut menegaskan agar negara-negara ASEAN memperhebat usaha bagi mitigasi dan adaptasi iklim, terutama sekali dalam mengurangkan pelepasan karbon serta memperkukuh daya tahan terhadap bencana.
"Perkara ini tidak boleh dilakukan secara berasingan. ASEAN mesti bertindak secara kolektif untuk membina masa depan yang berdaya tahan terhadap iklim dengan mengintegrasikan tindakan iklim ke dalam perancangan ekonomi, perdagangan dan pembangunan infrastruktur," katanya.
Beliau juga menambah bahawa ESCAP sedang bekerjasama rapat dengan negara-negara ASEAN dalam mempromosikan dasar yang menyepadukan pertimbangan iklim ke dalam strategi pembangunan serantau.
Peranan Malaysia dalam mempelopori tenaga boleh diperbaharui,khususnya menerusi Grid Kuasa ASEAN, turut ditekankan beliau.
"Peranan Malaysia dalam mempromosikan tenaga boleh diperbaharui dalam ASEAN sangat dipuji. Pengembangan Grid Kuasa ASEAN akan membantu mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil," katanya.
Pada masa yang sama, beliau menyeru tindakan bersama ASEAN dalam kesiapsiagaan bencana dan pembiayaan iklim.
Pemimpin serantau juga digesa untuk membangunkan kerangka kukuh bagi menarik pelaburan lestari.
"ASEAN mempunyai potensi untuk menjadi peneraju dalam tindakan iklim, tetapi ia perlu bergerak melangkaui perbincangan dan melaksanakan tindakan tegas.
"Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang akan menjadi detik penting bagi rantau ini menunjukkan komitmen terhadap daya tahan iklim," katanya.
Pemimpin ASEAN bakal membincangkan dasar iklim serantau, dan ESCAP berharap Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN akan memperjuangkan komitmen yang lebih kukuh dan tindakan konkrit dalam tadbir urus iklim.
"Kami yakin dengan keupayaan Malaysia untuk memacu agenda iklim ASEAN ke hadapan. Kini adalah masanya untuk bertindak dan kepimpinan Malaysia akan menjadi elemen penting dalam menentukan hala tuju rantau ini," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.