Skip to main content

Dunia

ASEAN perlu 'bersatu' namun 'fleksibel' dalam berdepan ancaman tarif Trump, kata pemimpin Asia Tenggara

Anggaran Waktu Membaca:
ASEAN perlu 'bersatu' namun 'fleksibel' dalam berdepan ancaman tarif Trump, kata pemimpin Asia Tenggara

Para pemimpin di Sidang Puncak ke-46 ASEAN di Kuala Lumpur pada 26 Mei 2025. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)

Diterbitkan : 26 May 2025 11:11PM
KUALA LUMPUR: Daripada bertindak sebagai penghubung antara China dengan Timur Tengah, melaksanakan strategi Indo-Pasifik, hinggalah mencadangkan kemasukan Papua New Guinea sebagai anggota baharu.

Inilah antara cadangan yang dikemukakan oleh para pemimpin Asia Tenggara pada Isnin (26 Mei) ketika mereka berkumpul dalam mesyuarat pertama daripada dua persidangan setiap tahun untuk memperkukuh Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

Di sebalik pelbagai cadangan tersebut, terdapat seruan tegas agar blok serantau 10 negara itu kekal bersatu tetapi fleksibel dalam mencari pendekatan baharu untuk menangani cabaran mendesak akibat ancaman tarif besar-besaran oleh Amerika Syarikat.

ASEAN mempunyai “ketahanan dan keupayaan” untuk “mengharungi badai” ketidaktentuan ekonomi yang melanda rantau ini, kata Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dalam ucapan pembukaan Sidang Puncak ASEAN ke-46 selama dua hari itu.

“Kita berterima kasih atas semangat keterpusatan dan persaudaraan dalam kalangan negara anggota ASEAN yang membolehkan kita bersatu untuk membentuk satu pendirian bersama dalam menangani cabaran-cabaran ini,” kata Encik Anwar, yang juga Pengerusi ASEAN tahun ini.

Negara-negara ASEAN antara yang paling terkesan akibat tarif Amerika, dengan negara seperti Kemboja dan Laos dikenakan tarif import masing-masing sebanyak 49 peratus dan 48 peratus, sebelum Presiden Amerika Donald Trump mengumumkan penangguhan selama 90 hari terhadap tarif “timbal balik" ke atas import dari hampir 60 negara serta Kesatuan Eropah (EU) pada 9 April.

Encik Anwar berkata pada Isnin bahawa “sifat muhibah” antara pemimpin-pemimpin blok membolehkan ASEAN meluaskan kerjasama dan bertindak dengan “kejelasan strategik”.
Related article image
Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim membuat ucapan pembukaan di Sidang Puncak ASEAN ke-46. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
“Kita mesti mempertahankan sistem multilateralisme dan memastikan model geoekonomi ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk)-China terus memainkan peranan yang bermakna dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan mampan untuk rantau dan rakyat kita,” kata beliau.

Encik Anwar berkata beliau telah menulis surat kepada Encik Trump untuk “memohon pemahamannya” dalam menganjurkan mesyuarat Amerika-ASEAN yang bertujuan membincangkan isu tarif tersebut dalam semangat “keterpusatan” ASEAN.

ASEAN akan menganjurkan sidang puncak tiga hala pertamanya bersama China dan GCC pada Selasa sebagai usaha untuk mengurangkan kesan tarif yang dikenakan oleh Trump.

FLEKSIBILITI MENCARI RAKAN BAHARU DI TENGAH-TENGAH PERUBAHAN DINAMIK PERDAGANGAN

Dalam mesyuarat pada Isnin itu, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh menekankan bahawa ASEAN mesti menyesuaikan diri secara “fleksibel dan berkesan” terhadap setiap perubahan dalam landskap global, menurut portal berita VietnamPlus.

Dunia kini sedang mengalami transformasi yang pantas dan rumit yang disertakan dengan polarisasi politik, pemisahan ekonomi, perpecahan institusi dan ketidaksamaan pembangunan, kata Encik Chinh.

“ASEAN mesti memperkukuh perpaduan dalaman, mempertahankan peranan keterpusatannya, dan mengekalkan hubungan seimbang dengan kuasa besar dengan memanfaatkan sepenuhnya mekanisme kerjasama sedia ada,” katanya.

Encik Chinh menggesa agar rangkaian kerjasama ekonomi ASEAN dimanfaatkan dengan lebih berkesan, termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), dan menyeru agar perjanjian perdagangan bebas dengan rakan seperti Kanada dimuktamadkan.

RCEP yang dipacu ASEAN terdiri daripada 10 anggota blok itu bersama Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Ia merupakan perjanjian perdagangan bebas terbesar dunia, merangkumi 30 peratus daripada KDNK dan penduduk global.

Encik Chinh juga mencadangkan penambahbaikan perjanjian perdagangan bebas sedia ada dengan China dan India untuk membantu mempelbagaikan pasaran, produk dan rantaian bekalan.
Related article image
Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Sidang Puncak ke-46 ASEAN. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan sokongan terhadap permohonan Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN “secepat mungkin” dan mencadangkan agar Papua New Guinea turut “menyertai” blok itu.

Pada bulan Mac lalu, Perdana Menteri Papua New Guinea, James Marape berkata negaranya boleh meraih manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara jiran di Asia Tenggara sambil membuka “koridor ekonomi” untuk Pasifik, menurut portal tempatan The National.

“Mereka juga telah menyatakan hasrat untuk menyertai ASEAN,” kata Encik Prabowo, merujuk kepada Papua New Guinea.

“Saya fikir dalam situasi ketidakpastian geopolitik semasa, semakin kukuh ASEAN, semakin lantang suara kita dalam wacana kuasa-kuasa besar. Kita tahu sekarang hanya yang kuat akan dihormati.”

Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra turut menyeru perpaduan serantau dan pendekatan baharu untuk menangkis perubahan global dan memastikan ketahanan ekonomi, menurut laman berita Thailand, The Nation.

Cik Paetongtarn memberi amaran tentang “kesan besar” tarif Amerika, sambil berkata ia sedang mengubah dinamik perdagangan global dan mencabar prospek ekonomi ASEAN.

Beliau menggesa para pemimpin blok agar segera menilai semula strategi mereka dan memperkukuh perpaduan serantau, menyeru rangkaian rantaian bekalan yang bersepadu, integrasi serantau yang lebih mendalam serta kerjasama baharu untuk mengharungi landskap ekonomi yang tidak menentu.
Related article image
Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong di Sidang Puncak ke-46 ASEAN. (Gambar: CNA/Fadza Ishak)
Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong berkata multilateralisme dan globalisasi kini "kian berundur” dengan persoalan tentang bagaimana rupa “aturan baharu global”.

“Kita harus meneroka kerjasama baharu, kerana walaupun berdepan pelbagai isu global, Asia tetap menjadi pusat pertumbuhan dunia,” katanya.

“Di rantau ini, negara seperti China, Jepun, Korea, India berminat untuk mempertingkatkan kerjasama dengan kita,” tambah PM Wong.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita