ASEAN perkasa perdagangan serantau bagi tangani impak krisis Timur Tengah
Menteri-menteri ekonomi negara Asia Tenggara mengemukakan cadangan bagi memperkukuh perdagangan serantau, daya tahan rantaian bekalan dan tindak balas terselaras terhadap kejutan luar, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Bendera ASEAN diletakkan bersama bendera negara-negara anggotanya pada 17 Januari 2025. (Gambar fail: REUTERS/Hasnoor Hussain)
Filipina, yang diwakili Setiausaha Perdagangan Ma. Cristina Roque, mempengerusikan Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN pada Khamis (30 Apr) bagi membincangkan implikasi ekonomi menyusuli krisis Timur Tengah yang berterusan.
“Kami menegaskan semula kepentingan kritikal untuk mengekalkan rantaian bekalan global dan laluan perdagangan maritim yang stabil, selamat, mampan dan berdaya tahan, khususnya bagi barangan dan perkhidmatan penting,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Jumaat.
Menteri-menteri itu berkata negara masing-masing akan “memperkukuh perdagangan antara ASEAN dan keterhubungan rantaian bekalan” melalui penyelarasan logistik yang lebih baik, perkongsian maklumat yang tepat pada masanya dan rundingan berterusan.
Mereka turut bersetuju untuk mengelakkan daripada memperkenalkan langkah bukan tarif yang tidak perlu ketika krisis, sambil memastikan prasarana perdagangan seperti sempadan darat, lapangan terbang dan pelabuhan terus dibuka jika perkara tersebut boleh dilakukan.
Menteri-menteri itu juga menyokong ratifikasi segera dan penguatkuasaan tepat pada masanya dalam 2026 bagi Protokol Kedua untuk Meminda Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN, yang menaik taraf perjanjian asal bagi menambah baik pemudah cara perdagangan,penyelesaian pertikaian dan ketelusan di rantau ini.
Mereka berkata kesan krisis Timur Tengah yang semakin meningkat terhadap pasaran tenaga global, keterjaminan makanan dan pengangkutan “semakin menjejas” perniagaan di seluruh Asia Tenggara, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dan “mungkin perlu” bagi negara anggota ASEAN melaksanakan langkah kecemasan untuk menangani cabaran itu.
Bagaimanapun, mereka menegaskan langkah itu perlu bersasar, seimbang, telus, sementara dan tidak mewujudkan halangan perdagangan yang tidak perlu serta selaras dengan peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan ASEAN.
Menteri-menteri itu akan menyerahkan hasil mesyuarat dan cadangan utama berkaitan kesiapsiagaan serantau kepada para pemimpin ASEAN pada Sidang Puncak ASEAN Ke-48 di Cebu pada 8 Mei.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.