Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

ASEAN nasihat Myanmar supaya hentikan keganasan dalam negara

Anggaran Waktu Membaca:
ASEAN nasihat Myanmar supaya hentikan keganasan dalam negara

Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan. (Gambar: Zamzahuri Abas/CNA)

LANGKAWI: Menteri Luar ASEAN menasihatkan Myanmar supaya mengutamakan usaha menamatkan keganasan di dalam negara itu daripada mengadakan pilihan raya.

Menteri Luar Malaysia Mohamad Hasan berkata mereka turut menekankan keperluan mendesak agar Myanmar mematuhi Konsensus Lima Perkara (5PC) yang dipersetujui ASEAN.

“Satu perkara yang kita tahu ialah mereka (Myanmar) mahu mengadakan pilihan raya, tetapi kita memberitahu mereka bahawa pilihan raya bukan keutamaan pada masa ini,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya Rahat Menteri Luar ASEAN pada Ahad (19 Jan).

Myanmar diwakili oleh Setiausaha Tetap Kementerian Luar Aung Kyaw Moe dalam mesyuarat itu.

Pada Disember lalu, dilaporkan bahawa seorang diplomat kanan junta Myanmar memaklumkan kepada negara-negara jiran mengenai rancangan mereka untuk mengadakan pilihan raya pada 2025.

Encik Mohamad juga berkata jika pilihan raya diadakan sekalipun, ia harus bersifat inklusif dan bukannya dilaksanakan dalam keadaan “terasing” melibatkan segmen tertentu masyarakat sahaja.

Konsensus Lima Perkara itu antara lain menyeru agar keganasan dihentikan segera, dialog diadakan dalam kalangan semua pihak, pelantikan utusan khas, membenarkan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN, serta membolehkan utusan khas ASEAN melawat Myanmar untuk bertemu semua pihak.

Mengenai 5PC, Encik Mohamad berkata para menteri ASEAN menegaskan bahawa garis panduan itu serta keputusan pemimpin ASEAN menjadi panduan utama dalam menangani situasi di negara itu, dan menyeru Myanmar supaya melaksanakannya.

Beliau berkata para menteri menekankan keperluan meneruskan usaha bagi mencapai resolusi damai yang inklusif dan berkekalan di Myanmar, dan akan menyumbang kepada keamanan, keselamatan, dan kestabilan dalam rantau ini.

“Oleh itu, kita menyeru semua pihak agar menghentikan permusuhan serta-merta, mengutamakan akses kemanusiaan, dan mewujudkan persekitaran bagi dialog inklusif,” katanya.

Encik Mohamad turut memaklumkan bahawa para menteri luar menyatakan sokongan terhadap pelantikan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, Othman Hashim, sebagai Utusan Khas Pengerusi ASEAN ke Myanmar.

Beliau berkata Encik Othman adalah individu yang sesuai untuk berunding dengan Myanmar dan rakan-rakan ASEAN lain berdasarkan pengalamannya yang luas.

“Dialog dan diplomasi sangat penting dan itulah sebabnya Othman Hashim, sebagai Utusan Khas kita ke Myanmar, boleh menjalankan tugasnya dengan bercakap kepada setiap segmen di Myanmar, supaya kita tahu apa yang mereka fikirkan.

"Tanpa mengetahui apa yang mereka fikirkan, adalah sukar. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya memaksakan (5PC) ke atas mereka. Kita juga mahu tahu apa pandangan mereka,” katanya.

Encik Othman pernah berkhidmat di beberapa negara termasuk Romania, Switzerland, dan China.

Beliau juga pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke Republik Czech, Wakil Tetap ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan Duta Besar ke Amerika Syarikat.

Beliau turut mewakili Malaysia di Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) dan mengetuai delegasi Malaysia ke sesi tetap UNHRC antara 2009 dan 2012.

Isu Myanmar berpusat pada krisis politik dan kemanusiaan yang berlarutan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, yang telah menguji perpaduan ASEAN serta mencabar prinsip tidak campur tangan dan konsensus dalam menangani kestabilan serantau serta hak asasi manusia.

Bagi kepengerusiannya dalam ASEAN tahun ini, tumpuan kini terarah kepada pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan harapan tinggi terhadap peranan lebih besar Malaysia dalam memacu kemajuan serantau.

Rahat Menteri Luar ASEAN selama dua hari yang berakhir pada Ahad merupakan mesyuarat utama pertama di bawah Pengerusi ASEAN, Malaysia pada 2025 yang membuka tirai kepada tahun yang sibuk dan signifikan.

Malaysia sebelum ini pernah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.
 
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan