Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

ASEAN mengalami isu kadar kelahiran, kesuburan rendah

Anggaran Waktu Membaca:
ASEAN mengalami isu kadar kelahiran, kesuburan rendah

Gambar hiasan: iStock

Diterbitkan : 26 Jan 2025 03:50PM Dikemas Kini : 26 Jan 2025 03:52PM
PHNOM PENH: Kebimbangan besar yang menyelubungi latar belakang kemakmuran ekonomi ASEAN, selain perubahan iklim, ialah penurunan kadar kelahiran dan kesuburan yang boleh mengganggu prospek pertumbuhannya.

Memandangkan jumlah bayi yang dilahirkan di Asia Tenggara semakin berkurangan akibat perubahan gaya hidup dan pembandaran, keadaan itu boleh menjadi masalah terhadap produktiviti ekonomi.

Walaupun ASEAN merupakan sebuah rantau yang padat dengan kira-kira 670 juta penduduk, kerajaan di Asia Tenggara perlu menangani peralihan demografi kepada penduduk yang semakin tua dan penurunan kadar kelahiran, menurut pakar.

Menurut laporan “ASEAN Key Figures 2023”, ASEAN merupakan rantau ketiga paling ramai penduduk di dunia, selepas India dan China.

Timbalan Editor 'ASEAN Briefing' Ayman Falak Medina berkata, perubahan iklim dan penurunan kadar kelahiran adalah isu yang perlu diberi perhatian bagi memastikan prospek pertumbuhan rantau ini.

“Walaupun perubahan iklim akan menjadi cabaran untuk ASEAN, saya percaya cabaran lebih besar adalah menangani penurunan kadar kelahiran dan kesuburan kerana ia akan memberi kesan kepada produktiviti keseluruhan, seterusnya keupayaan setiap negara untuk menangani perubahan iklim.

“Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia semuanya sedang mengalami perubahan demografi disebabkan penduduk yang semakin tua,” katanya kepada Bernama melalui temu bual e-mel.

Pakar berkata penurunan jumlah penduduk boleh memberi kesan ke atas pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial, kekurangan tenaga kerja serta penduduk belia yang semakin berkurangan. Namun, ada juga yang berpendapat bahawa penurunan kadar pertumbuhan penduduk mempunyai kesan positif.

Antaranya ialah peningkatan mutu hidup, kurang tekanan kewangan dan kurang permintaan terhadap sumber semula jadi utama seperti tenaga, tanah dan air.

Menjelang 2030, seorang daripada empat penduduk Singapura akan berusia 65 tahun atau lebih, manakala Thailand menjangkakan 25 peratus daripada penduduknya akan mencapai usia itu menjelang 2040. Vietnam juga berada pada trajektori yang sama, dengan hampir 30 peratus penduduknya diunjurkan berumur 60 tahun atau lebih menjelang 2050.

“Penuaan penduduk di Malaysia lebih perlahan, dengan 14.5 peratus penduduknya dijangka berumur 65 tahun ke atas menjelang 2040. Indonesia, Brunei, Kemboja, Myanmar dan Laos juga sedang bersiap sedia menghadapi penduduk yang semakin tua,” katanya.

Menurut laporan ASEAN, rantau ini sedang menghadapi peralihan demografi apabila kadar kesuburan keseluruhan (TFR) menurun sejak sedekad lepas.

“Penurunan TFR untuk tempoh tertentu boleh menggalakkan pertumbuhan ekonomi kerana ia membawa kepada pengurangan dalam bahagian penduduk kanak-kanak dan peningkatan bahagian penduduk usia bekerja.

“Dalam jangka masa panjang, terutamanya jika kesuburan terus menurun, bilangan penduduk usia bekerja akan berkurangan manakala bilangan warga emas akan meningkat, menyebabkan penduduk yang semakin tua.

“Keadaan ini mungkin meningkatkan beban ekonomi termasuk kos penjagaan kesihatan dan keselamatan sosial,” menurut laporan itu.

Pelaburan pemerintah dalam perlindungan sosial, pelaksanaan dasar yang menggalakkan kadar kelahiran, penjagaan warga emas dan kesihatan akan menjadi elemen penting kerana rantau ini mengalami gelombang penuaan penduduk.
 
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan